PENERAPAN FAHAMAN SYIAH DISEBALIK KARYA-KARYA PENULISAN FAISAL TEHRANI


Jawatankuasa fatwa Negeri Selangor telah menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa- apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan. Pada hari ini unsur-unsur yang merosakkan akidah juga masuk melalui penulisan yang semakin banyak. Ada beberapa penulis Syiah yang cuba mempengaruhi umat Islam di negara ini melalui tulisan mereka. Mereka selalu membayangkan dalam tulisan mereka kononnya Syiah tiada masalah untuk berdamping dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kononnya perbalahan antara Sunni dan Syiah itu hanyalah rekaan pihak-pihak tertentu sahaja.

Selain itu, sebahagian pihak menggunakan alasan akademik, seperti buku-buku Syiah yang keluar, contohnya buku-buku tulisan Faisal Tehrani yang menggunakan kesusasteraan untuk memasukkan ideologi dan fahaman Syiah, mengetengahkan nama-nama pimpinan Syiah, Imam-imam 12. Sebagai contoh antara buku-buku karya Faisal Tehrani yang menjadi kontroversi kerana dikatakan berunsur Syiah adalah seperti Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu, Ingin Jadi Nasrallah, Perempuan Nan Bercinta serta Sinema Spiritual. Dramaturgi dan kritikan orang mengatakan ini akademik, ini nilai, kalau disekat seni kita tidak berkembang. Ini bukan soal berkembang atau tidak berkembang seni. Tetapi soalnya adalah adakah kita ingin menjaga akidah atau kita ingin menjaga seni.

Jadi biarlah kalau hendak berseni, seni yang sesuai dengan nilai-nilai, prinsip dan dasar-dasar akidah. Sebab itu kita masing-masing perlu ada sikap yang bertanggungjawab dan memainkan peranan. Ini kerana dari semasa ke semasa, untuk mempertingkatkan mutu penulisan, bahagian-bahagian penapis perlu memainkan peranan untuk menyemak isi sesebuah penulisan atau karya sebelum memberi kelulusan untuk diterbitkan. Hal ini adalah penting untuk dimbil cakna oleh pihak-pihak berwajib kerana dikhuatiri penyebaran yang salah akan mempengaruhi minda-minda remaja atau orang lain yang tidak kuat pegangan agamanya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Apabila minda sudah tercemar dengan ajaran Islam yang terpesong, maka kecenderungan untuk mewujudkan ancaman keselamatan adalah tinggi.


Sumber: Gerakan Anti Syiah Malaysia

 


Comments