PENINGKATAN PENGARUH SYIAH DI MALAYSIA BOLEH MENCETUSKAN KONFLIK ANTARA MASYARAKAT ISLAM MAJORITI YANG BERFAHAMAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAN BOLEH MENJEJASKAN KESELAMATAN NEGARA


Ancaman terhadap keselamatan negara hari ini tidak lagi terbatas kepada peperangan semata-mata. Ancaman bukan tradisional seperti perbalahan mazhab dan konflik agama dalam penganut agama Islam sendiri turut memberi kesan terhadap nilai teras sesebuah negara. Di Malaysia, walaupun fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) diisytiharkan sebagai pegangan rasmi, namun masih segelintir masyarakat yang berpegang kepada fahaman lain terutamanya Syiah yang dilihat semakin berkembang jumlah penganutnya di Malaysia.

Kemasukan fahaman Syiah secara besar-besaran ke Malaysia dipercayai selepas Revolusi Iran pada tahun 1979. Walaupun dunia memberikan revolusi berkenaan dengan nama Revolusi Islam, namun ia merupakan agenda Iran bagi meluaskan doktrin Syiah atas nama menyatukan negara Islam di bawah konsep Wilayatul Faqih iaitu meletakkan kepemimpinan di bawah pengurusan agamawan.

Walaupun Syiah menjadi kumpulan kedua terbesar yang dianuti oleh masyarakat Islam selepas fahaman Sunni, namun kerajaan Malaysia memutuskan agar fahaman Syiah tidak disebarkan di Malaysia melalui fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga pernah menjelaskan kehadiran kumpulan Syiah dengan jumlah yang tidak terkawal di Malaysia boleh menimbulkan pertembungan antara kumpulan Syiah dan Sunni sehingga boleh mengancam keselamatan negara. Sekiranya Malaysia tidak mengambil pendekatan awal bagi menangani peningkatan jumlah penganut fahaman Syiah ke negara ini, tidak mustahil akan wujud perselisihan fahaman antara golongan Sunni dan Syiah memandangkan masyarakat Malaysia majoritinya adalah berfahaman ASWJ.

Sumber: Journal of Social Sciences and Humanities, Malaysia


Comments