Pengaruh golongan ateis
jika tidak dibendung akan membuka ruang serta pintu lebih luas kepada
penyelewengan agama. Dalam konteks mutakhir ini, mereka juga semakin lantang mengeluarkan
pandangan bahkan menggunakan media sosial sebagai platform untuk meraih sokongan
dan perhatian masyarakat.
Ia antara cara licik
memperdagangkan agenda yang bertentangan syariat Islam menerusi percubaan demi
percubaan memberi interpretasi baharu disifatkan bersesuaian dengan cara hidup
dan arus kemodenan semasa.
Fahaman ini dianggap
boleh menganggu ketenteraman awam kerana ia adalah satu ancaman dalam bentuk
penghinaan dan provokasi kepada agama-agama, khususnya agama-agama di Malaysia
seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha samada dalam media sosial, mahupun
buku-buku tulisan golongan ateis.
Sebagai contoh laporan
portal berita The Diplomat yang ditulis oleh seorang wartawan bernama Justin
Higginbottom pada 22 Ogos 2017, bertajuk “Intolerance Rising: Atheists at Risk
in Malaysia”, pula ada disebutkan mengenai kisah seorang Atheist Republic
Malaysia Melayu Islam yang bernama Ahmad, yang datang daripada satu keluarga
Melayu Islam sederhana. Beliau mengaku bahawa beliau adalah seorang ateis serta
mendedahkan bahawa terdapat ledakan di dalam bilangan ateis di Malaysia dan
menerusi gerakan kumpulan Atheis Republic di Malaysia terdapat agenda untuk
menyebarluaskan doktrin ateis ini kepada masyarakat Islam. Bukankah ini satu
ancaman?
Kurangnya pendedahan
terhadap agama yang sebenar, pergaulan bebas, pemahaman yang salah terhadap
tafsir-tafsir ayat al-Quran dan terikut-ikut dengan budaya luar yang dilihat
bebas dan tidak mengongkong kehidupan menyebabkan ideologi ateisme ini semakin
diterima oleh masyarakat khususnya yang beragama Islam.
Oleh itu, pembendungan terhadap penularan ateisme ini perlu diambil tindakan segera oleh pihak-pihak yang berwajib. Sekiranya tidak diambil cakna maka keselamatan negara boleh terjejas akibat tercetusnya perbalahan antara agama-agama yang diamalkan di Malaysia.
Sumber: Islamic and
Strategic Studies Institute Malaysia
Comments
Post a Comment