Islam mengajar umatnya agar
sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain dan juga menyokong setiap
perkara yang boleh mewujudkan sifat berkasih sayang sesama manusia. Ini kerana
dengan terjalinnya rasa kasih dan sayang itu ia akan menguatkan lagi tahap
keimanan di dalam diri kita khususnya umat Islam.
Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Rasulullah
SAW bersabda:
“Tidak
beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya
sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari (13)]
Berkasih sayang tidak terhad hanya sesama Muslim
sahaja. Malah, ia harus disuburkan di kalangan orang bukan Islam dan seluruh
makhluk yang lain. Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah meraikan
wujudnya kepelbagaian dan perbezaan. Manusia dicipta dalam pelbagai bangsa,
bahasa, kefahaman dan kemampuan. Mereka dikurniakan peranan masing-masing bagi
memakmurkan bumi. Seperti firman Allah SWT:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.”
(QS al- Hujurat: 13)
Dengan kepelbagaian inilah, kasih sayang memainkan
peranan sebagai penghubung silaturrahim sesama manusia. Sifat kasih sayanglah
yang mendasari kepercayaan, kejujuran, empati, sokongan dalam sesuatu
perhubungan sosial. Justeru, kita digalakkan untuk saling mengukuhkan ikatan
kasih sayang sesama insan tanpa mengira warna kulit, agama, bangsa dan fahaman
bahasa. Jangan pernah menjadikan perbezaan itu suatu halangan untuk kita
menyuburkan kasih sayang di dalam masyarakat berbilang kaum. Ini kerana, kita
semua sama darjatnya pada pandangan Allah dan Allah menyayangi orang yang
menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
“Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi
(makhluk-Nya).” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Comments
Post a Comment