TAARUF (SALING MENGENALI), TAFAHUM (SALING MEMAHAMI) DAN TA'AWUN (SALING MEMBANTU) KUNCI UTAMA KEHARMONIAN KAUM DAN KESTABILAN NEGARA


Kewujudan manusia itu terdiri dari pelbagai aspek sama ada keturunan, bahasa dan budaya. Bahkan wujud pelbagai watak yang membezakan antara seseorang dengan yang lain. Sesungguhnya, kepelbagaian adalah satu keistimewaan dan kekuatan apabila saling menampung antara satu sama lain dan saling melengkapkan. Tanpa nilai persefahaman, hormat-menghormati dan kasih sayang mana mungkin keharmonian bagi sebuah masyarakat dengan pelbagai latar belakang dapat diwujudkan. Justeru, hakikat kepelbagaian manusia merupakan sesuatu yang mesti diterima dan diraikan. Bagi menjaga keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara, perkara-perkara berikut perlu diberikan perhatian:

1. Taaruf (saling mengenali).

Kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini menuntut setiap anggota masyarakat untuk saling kenal mengenali. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

Bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".


2. Tafahum (saling memahami).

Tabiat manusia yang sentiasa berbeza pendapat dan sering berbalah menjelaskan lagi keperluan untuk saling faham memahami. Jauhi punca persengketaan seperti taksub, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Fahamilah perbezaan nilai, maka akan wujud persefahaman, hormat-menghormati, kerjasama dan bertolak ansur.

 

3. Ta’awun (saling membantu).

Apabila anggota masyarakat saling kenal mengenali dan saling faham memahami maka mereka akan saling bantu-membantu dan berkasih sayang. Sesungguhnya sikap saling bantu-membantu ke arah kebaikan dan takwa adalah perintah Allah SWT.

Apa yang berlaku di negara-negara yang masih bergolak seperti Iraq, Syria dan lain-lain seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Kita seharusnya berhati-hati dalam meneliti sebarang propaganda, prasangka atau berita yang diterima tentang sesuatu kaum, agama dan sebagainya. Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya. Dengan itu, perpaduan yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum, bangsa dan agama dapat mewujudkan keharmonian dan kestabilan negara.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

FOLLOW US:

http://facebook.com/alhaqcentremalaysia

http://al-haqcentre.blogspot.com

http://instagram.com/alhaqcentre

 

 


Comments