HIZBUT TAHRIR MENGHUKUM KUFUR KEPADA PENGAMAL SISTEM DEMOKRASI


    Hizbut Tahrir menyatakan bahawa pilihanraya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang kufur. Barang siapa yang terlibat dengan sistem demokrasi, maka mereka berdosa dan juga bersubahat dengan sistem kufur.

    Mereka juga mengancam mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan Islam melalui saluran demokrasi. Bagi Hizbut Tahrir, gerakan Islam yang memilih jalan harmoni dan aman adalah berdosa kerana perjuangan yang paling utama adalah mengembalikan sistem Khilafah yang merupakan sistem Islam ciptaan Allah S.W.T.

    Mereka juga percaya, perjuangan menegakkan Khilafah perlu dilakukan mengikut manhaj Rasulullah S.A.W yang mana Baginda telah mendahulukan perang pemikiran, diikuti revolusi pemikiran masyarakat seluruhnya dan berakhir dengan revolusi politik. Selagi tidak tertegaknya Khilāfah, maka selagi itulah umat Islam berada dalam keadaan berdosa.

    Malah bagi Hizbut Tahrir proses terakhir untuk menegakkan Khilafah dalam sesebuah negara ialah dengan mensyaratkan wajib bagi umat Islam untuk meminta pertolongan dengan mana-mana kuasa yang kuat sama ada Islam atau bukan Islam. Bagi mereka, jika Amerika sekalipun sudi untuk membantu umat Islam untuk membina Khilafah, maka mereka boleh meminta pertolongan daripada kuasa tersebut.

    Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa Hizbut Tahrir menolak secara keseluruhannya sistem demokrasi kerana mengatakan bahawa ia adalah daripada sistem kufar. Tidak dinafikan bahawa demokrasi merupakan sistem yang dicipta oleh golongan Barat, akan tetapi ianya boleh diislamisasikan dengan menerapkan sistem syura di dalam sistem yang ada. Islam tidak melarang kita mengambil sistem atau tatacara daripada bukan Islam selagi perkara tersebut tidak bercanggah dengan Islam.

 

Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, KUIS


Comments