INDAHNYA HIDUP MANUSIA APABILA SALING BERLAPANG DADA, BERKASIH SAYANG DAN BANTU-MEMBANTU


Kehidupan manusia tidak selalunya mengikut apa yang dirancangkan. Benarlah kehidupan di dunia ini umpama roda. Sebagai seorang yang beriman, apa saja yang terjadi tidak menyebabkan kegusaran di hati apabila memahami itu adalah takdir llahi.

Namun, sebagai manusia biasa kita tidak lari daripada melakukan hal yang tidak sepatutnya. Untuk itu, Allah SWT telah memerintahkan umatnya agar sentiasa mempratikkan tiga perkara. Sentiasa berlapang dada, berkasih sayang dan saling bantu-membantu sesama insan. Perkara pertama, saling berlapang dada. Adat kehidupan, setiap manusia tidak lari daripada ujian kehidupan. Namun, kita hendaklah sentiasa percaya bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik pengatur kehidupan.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah.’ Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (QS al-Ahqaf: 13)

Kedua, saling berkasih sayang. Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah meraikan wujudnya kepelbagaian dan perbezaan. Dalam kepelbagaian inilah, kasih sayang memainkan peranan sebagai penghubung silaturrahim sesama manusia.

Sabda Rasulullah SAW:

"Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh empat badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya)." (HR Muslim)

Yang terakhir, saling bantu-membantu. Ini adalah perkara yang paling diutamakan oleh agama Islam. Setiap daripada kita digalakkan untuk saling tolong-menolong tidak kira sama ada pihak lawan atau kawan. Ini kerana, setiap manusia di muka bumi ini berhak untuk menerima bantuan dari segala segi selayaknya norma hidup kemanusiaan. Ini kerana Allah memberi jaminan orang-orang yang berkasih sayang akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah akan melaksanakan hajatnya.” (HR Bukhari)

Nampak, indah bukan kehidupan kita sebagai umat Islam jika kita mengamalkan tiga perkara tersebut? Setiap perkara yang Allah ciptakan untuk hambaNya bukanlah sekadar omongan kosong. Bahkan ia diciptakan untuk panduan hidup manusia di atas muka bumi dan dijadikan ‘bekalan’ untuk hari akhirat akan datang. Oleh itu, amalkan lah selalu perkara-perkara tersebut agar kita beroleh pahala dan kerahmatan daripada Allah SWT.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments