INDIVIDU YANG MENGHASUT RAKYAT SUPAYA MENGIKTIRAF KEWUJUDAN KERAJAAN SULU DI SABAH PERLU DIBENDUNG KERANA IA MAMPU MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA.


Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia berhadapan beberapa bentuk ancaman keselamatan seperti ancaman Komunis, konfrontasi Indonesia, tuntutan Filipina ke atas Sabah dan sebagainya. Namun baru-baru ini terdapat isu berkenaan beberapa pemilik akaun Facebook yang dilihat cenderung ke arah menyokong kewujudan pentadbiran kerajaan Sulu di Sabah. Hasutan yang cuba dimainkan di sosial media ini seharusnya menjadi ‘alarm’ kepada pihak-pihak berwajib supaya menjalankan pemantauan yang lebih berfokus dan mengambil strategi yang tepat dan berkesan  supaya isu ini tidak mengakibatkan sebarang perkara yang menganggu ketenteraman awam.

Perkara ini menunjukkan bahawa, telah berlaku perubahan dalam isu keselamatan negara di mana ancamannya banyak disumbangkan oleh aktor-aktor bukan negara, misalnya kumpulan pengganas, NGO, etnik minoriti dan sebagainya yang merasakan mereka dipinggirkan dan tidak diberikan perhatian.

Seharusnya kita perlu mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa dahulu yang mengancam perairan Sabah seperti insiden pencerobohan oleh kumpulan yang dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu (RSA) di Tanduo pada 2013. Pencerobohan ini memberi gambaran bahawa aktor bukan negara juga mampu memberikan ancaman keselamatan yang sangat besar, malahan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan ini adalah lebih besar daripada ancaman yang ditimbulkan oleh elemen-elemen keselamatan tradisional yang melibatkan aktor negara (pemerintah, penguat kuasa, pembuat dasar dan sebagainya) dan penggunaan ketenteraan oleh negara lain.

Justeru itu, perlu diberi perhatian bahawa pendekatan holistik adalah alternatif penting untuk memahami isu dan masalah persoalan keselamatan di negara ini. Hasutan-hasutan berkaitan isu-isu sensitif terutamanya berkaitan dengan keselamatan negara seharusnya perlu dibendung sebelum propaganda yang dicanang oleh individu yang tidak bertanggung jawab ini terus menjadi indoktrinasi kepada pemikiran masyarakat Malaysia. Jika isu ini tidak dicegah daripada awal, maka tidak mustahil peristiwa pencerobohan di Sabah itu akan berulang.

Sumber: Jurnal Akademika. 2017. Vol. 87(3): 15-29, Fakulti Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.


Comments