Ada
yang beranggapan Islam tidak menunjukkan toleransi terhadap agama lain. Malah,
ada juga yang menuduh Islam menindas agama lain. Hakikat kebenarannya, semua
pertuduhan itu tidak benar kerana agama Islam di Malaysia masih menunjukkan
sikap toleransi di kalangan penganut agama lain dengan membenarkan mereka
mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa mengganggu kesejahteraan
masyarakat.
Namun,
dalam bertoleransi, mestilah wujudnya beberapa batas yang perlu dipatuhi. Islam
dapat bertoleransi selagi ia dapat difahami dengan baik tentang
sempadan-sempadan yang tertentu dalam soal-soal dasar agama itu. Islam malah
dari awal lagi memberi jaminan kepada kebebasan manusia memilih agama masing-masing
seperti yang ditegaskan di dalam surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud “bagi
kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”
Islam
bukanlah agama yang kejam dan memaksa. Malah di zaman pemerintahan Rasulullah
SAW, Baginda sentiasa menghulurkan bantuan kepada kaum Musyrikin yang memerangi
Banginda. Baginda juga tanpa ragu-ragu melindungi kaum musuh dari disakiti
kerana pada pengamatan Baginda, musuh juga merupakan makhluk Allah yang wajar
dilindungi daripada bahaya dan kesakitan.
Sabda
Rasulullah SAW:
Ketahuilah!
sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan
haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu
(hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang
berbuat demikian itu pada hari kiamat.” (HR Abu Daud)
Walau
bagaimanapun, ia bukanlah lesen untuk kita menjadikan mereka sahabat hingga
akhirnya kita ‘membuang’ kepercayaan terhadap agama sendiri dan mengiyakan
kepercayaan mereka. Itu satu konsep yang silap. Bertoleransi bukan bermakna
kita mengalah. Umat Islam dianjurkan menggunakan kaedah yang terhormat dan
sopan. Sekiranya orang bukan Islam cenderung tidak bersetuju dengan mesej
Islam, walaupun semua hujah dan logik diberikan, mereka tetap tidak boleh
dikenakan sebarang bentuk paksaan dan kekerasan untuk menerima Islam.
Sumber:
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Harian Metro “Nabi didik sikap
bertoleransi dalam masyarakat” (6 September 2018) dan Harian Metro “Amalkan
toleransi pikat agama lain” (4 Oktober 2018)
Comments
Post a Comment