JANGAN MUDAH TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT YANG MENGARUT DAN BERCANGGAH SAMA SEKALI DENGAN AJARAN ISLAM. BENTENGLAH DIRI DENGAN ILMU AGAMA YANG BENAR


Ajaran sesat telah mula dikesan bergerak di Malaysia sebelum tahun 1950-an lagi. Kebanyakan ajaran sesat bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ia sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal.

Ajaran sesat dipercayai dibawa masuk oleh penganut-penganut dari negara-negara asal timbulnya ajaran sesat tersebut atau rakyat tempatan yang kembali semula ke Malaysia setelah belajar atau menetap di luar negara.

Sebagai contoh adalah ajaran sesat ‘Yayi’ yang merupakan antara 42 kumpulan ajaran sesat yang pernah wujud dan terdapat pengaruh kumpulan ajaran sesat itu dalam kalangan masyarakat Malaysia. Fahaman ajaran sesat ‘Yayi’ itu didakwa dibawa oleh warga Singapura iaitu Paridah Jayos atau juga dikenali dengan nama Intan dan Ibu yang menjadi pengasas utama kumpulan ajaran sesat itu. Antara ajaran yang didakwa dibawa oleh kumpulan terbabit ialah mengaku kitab suci al-Quran ditulis oleh Paridah namun dicemari pelbagai kesalahan dan wajib membuangnya manakala pengasasnya mengaku sebagai Tuhan namun kemudian bertukar watak sebagai jelmaan Tuhan bergelar Yayi. Selain itu, ajaran ini juga dipercayai menegah pengikutnya daripada berpuasa pada Ramadan, tidak perlu berzakat, mengamalkan sihir serta menggalakkan zina.

Walaupun isu tersebut telah selesai berikutan kematian ketua kumpulan berkenaan, namun apa yang hendak diketengahkan adalah masih ada yang boleh terpengaruh dengan ajaran sesat yang pada akal fikiran yang waras kadangkala fahaman yang dibawa tidak masuk akal.

Oleh itu, benteng untuk bagi seseorang individu untuk mengelakkan diri dari terpengaruh dengan ajaran yang sesat adalah memenuhi diri dengan ilmu agama dan ilmu pengetahuan. Berbekalkan ilmu tersebut, apa-apa sahaja anasir-anasir negatif yang datang maka dapat dielakkan. Berkawan dengan orang-orang yang baik juga menjadi salah satu strategi supaya tidak terjebak dengan pengaruh negatif. 

Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 26 (2007), Universiti Darul Iman Malaysia dan Harian metro (11 September 2018)


Comments