Salah satu penyakit yang melanda
masyarakat dalam negara pada hari ini adalah sifat bermuka-muka. Sifat
bermuka-muka atau lebih tepat disebut talam dua muka ini terjadi apabila
wujudnya perasaan hasad dengki yang menebal di dalam diri. Orang yang
bermuka-muka adalah orang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya
ketika bertemu dengan seseorang atau sekelompok orang yang dia musuhi dengan
mengatakan perkataan atau sikap yang berbeda dengan apa yang disimpan dalam
hatinya.
Sikap bermuka-muka ini adalah suatu
sikap yang sangat buruk di sisi agama dan moral. Hal ini kerana Islam tidak
mengajar umatnya untuk saling berhasad dengi dan menjadi ‘batu api’ dalam
kalangan masyarakat hingga menyebabkan perpecahan di kalangan mereka.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya daripada
seburuk-buruk manusia di sisi ALLAH pada Hari Kiamat ialah mereka yang bermuka
dua.” (HR at-Tirmidzi)
Hadis ini sudah cukup menggambarkan
bahawa Allah sangat membenci para hambaNya menjadi seorang yang bermuka-muka
untuk tujuan kepentingan diri. Ini kerana amalan sebegini akan menyebabkan
perpecahan di kalangan umat Islam dan seterusnya membolehkan pihak musuh
mencari jalan untuk menghancurkan lagi ikatan kepercayaan manusia terhadap
agama ini.
Bagi seorang Muslim, tidak berburuk sangka terhadap saudara
seagama dan berusaha menutup kelemahan orang lain kerana mereka menutup keaiban
orang lain ketika di dunia, Allah SWT akan menutup keaibannya pada hari kiamat.
Berita yang didengar tidak perlu dihebahkan kepada orang lain kerana ia mungkin
mencetuskan permusuhan antara saudara seagama. Janganlah kita terlalu cepat
menghukum disebabkan berita yang kita dengar.
Oleh itu, jalan selamat ialah bersikap mendiamkan diri dan
jangan mudah menerima berita yang didengar serta menyebarkannya. Marilah kita
sama-sama menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan ke jalan yang diredai
Allah SWT.
Sumber: Berita Harian “Talam dua muka penyakit bahaya musnahkan ummah” (25 Jun 2011) Website
People@UTM “Bermuka-muka Amalan Paling Buruk” (12 Disember 2017)
Comments
Post a Comment