KONSEP AKIDAH HIZBUT TAHRIR YANG BANYAK BERSANDAR KEPADA AKAL FIKIRAN ADALAH BERTENTANGAN DENGAN FAHAMAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


    Pemikiran Hizbut Tahrir terbahagi kepada dua iaitu: Pertama, prinsip dalam masalah keyakinan. Kedua, prinsip dalam pengamalan hukum Islam. Konsep akidah bagi HizbutTahrir bersandar kepada akal fikiran. Sebagaimana dalam Kitab al-Imam, Hizbut Tahrir mengatakan bahawa Islam telah membangun akidah di atas akal sehingga dapat dicerna dan diketahui atau dari rujukan yang tetap menurut akal fikiran seperti al-Quran dan al-Sunnah yang mutawatir.

    Manakala dalam pengamalan hukum Islam pula, Hizbut Tahrir  tidak perlu berdakwah berkenaan dengan amalan solat, puasa atau hukum-hukum lainnya. Ini adalah kerana menurut pandangan mereka, ia harus dikerjakan oleh pemerintah Islam selepas ia dibangunkan. Menurut Hizbut Tahrir lagi, perbezaan di antara dakwah yang dipikul oleh jamaah Islam dengan dakwah yang dipikul oleh negara Islam ialah sekiranya sebuah negara Islam berdakwah agar rakyatnya melaksanakan amal Islami, iaitu menyesuaikan Islam dalam urusan dalaman dengan penyesuaian penuh.

    Maka dakwah jemaah Islam ialah mengarah kepada amalan-amalan yang berkaitan dengan fikrah yang tidak dikaitkan dengan aktiviti lainnya kerana umat Islam melakukan perkara di bawah arahan ketua dalam jemaah yang kemudiannya akan dibawa kepada pemerintah sehingga perkara tersebut boleh dilakukan dan boleh mencapai Daulah Islamiyyah. Sejarah menyaksikan kehidupan Rasulullah s.a.w. di Madinah digunakan sebagai qudwah atau ikutan dalam langkah penyesuaiannya dengan Islam.

Sumber: Unit Penyelidikan, Alhaqcentre Malaysia


Comments