KUATKAN IKATAN PERSAUDARAAN, HINDARI PERMUSUHAN YANG BOLEH MENDATANGKAN KERUGIAN TERHADAP DIRI, MASYARAKAT DAN NEGARA


Jika kita lihat keadaan masyarakat Malaysia pada hari ini, terlalu besar jurang perhubungan antara mereka. Tidak hanya melibatkan lain-lain kaum, malah ia turut melibatkan saudara seagama yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Kehidupan moden pada hari ini menyaksikan banyak perilaku bertentangan amalan dan etika sosial apabila timbul pelbagai perbuatan menyeleweng daripada landasan dibenarkan agama.

Firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah-belah.” (QS ali-Imran: 103)

Umat Islam di Malaysia khususnya diseru untuk memainkan peranan sebagai golongan majoriti dalam menyatupadukan hubungan ‘kekeluargaan’ di antara semua kaum di negara ini. Jika kita tidak menjaga tali persaudaraan dan menggalakkan lagi perpecahan, ia bukan sahaja mendatangkan kerugian terhadap diri sendiri, bahkan ia turut mendatangkan kesan negatif ke atas masyarakat dan juga negara.

Justeru, setiap daripada kita haruslah bertanggungjawab menjaga tali persaudaraan di antara masyarakat walaupun berlainan bangsa, agama dan latar belakang dan menghindari segala bentuk permusuhan dan perpecahan. Ini kerana dengan memeliharanya, ia bukan sahaja mendatangkan aura positif ke dalam rakyat dan negara, Allah akan memberikan ‘hasil’ (rezeki) yang lumayan kepada kita semua. Perpecahan dan permusuhan akan merugikan semua pihak, ini kerana pihak musuh akan bersorak gembira apabila melihat kita berpecah belah kerana ia akan memudahkan kerja mereka memusnahkan negara ini. 

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumber: Harian Metro “Jaga Silaturahim Tanda Orang Beriman” (13 Jun 2019) dan Pejabat Mufti Wilayah

 

 

 


Comments