PENINGKATAN JUMLAH HAUZAH (MARKAZ PENGAJIAN SYIAH) BUKTI PERKEMBANGAN KUMPULAN SYIAH DI MALAYSIA SEMAKIN MEMBIMBANGKAN


Kumpulan Syiah merupakan satu kelompok umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10% daripada seluruh umat Islam di dunia. Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Syiah Jaafariyah (Syiah Imam dua belas), Syiah Zaidiyah, Syiah Islamiyah dan sebagainya.

Sejarah Syiah di Malaysia ini telah menunjukkan bahawa perkembangan ajaran Syiah ini bermula dengan mendadak selepas beberapa individu yang merupakan pemimpin-pemimpin Syiah yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar tahun 1997 dan  kemudian telah dibebaskan. 

Ianya terbukti dengan kewujudan beberapa markas pengajian (hauzah) Syiah di seluruh Malaysia iaitu seperti di Gombak, Johor Bahru, Pendang, Kangar dan paling besar di Lembah Klang, yang sebahagiannya adalah hasil pembiayaan atau bantuan daripada beberapa usahawan dari Iran.

Bukan setakat itu saja, ajaran Syiah ini juga turut disebarkan secara meluas menerusi pelbagai medium seperti media sosial, media elektronik, buku-buku agama, novel sastera dan sebagainya untuk memperluaskan pengaruh Syiah dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Sungguhpun mereka dianggap masih belum mengancam keselamatan negara, namun tanpa pembendungan dari awal, perkembangan kumpulan Syiah di negara ini dilihat mampu untuk mencetuskan ancaman dan huru hara. Hal ini tidak mustahil akan berlaku terutamanya jika mereka berjaya membentuk sebuah pasukan tentera Syiah seperti yang pernah berlaku di Yaman, yang akhirnya mereka bangkit melakukan pemberontakan  terhadap kerajaan melalui sokongan negara yang  menjadi penaung kumpulan Syiah.

Justeru itu, ulama dan guru agama  bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa ajaran Syiah ini adalah ajaran yang menyimpang daripada Islam serta bahayanya kepada umat Islam. 

Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan yang tegas terhadap individu  dan kumpulan yang terlibat dengan ajaran Syiah dan cuba mengembangkan ajaran Syiah di negara ini.

Selain itu, ibu bapa pula perlu memantau pergaulan anak-anak mereka supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Syiah sehingga boleh menyebabkan  terpesong akidahnya.

Akhirnya, setiap diri umat Islam juga perlu berusaha untuk mendalami ilmu agama dan bertadabbur dengan guru yang betul supaya mereka boleh menilai mana satu yang betul dan mana satu yang salah terhadap sesuatu perkara itu mengikut kaca mata Islam yang benar.

Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2612004795782418&id=1514470178869224

Comments