PENYEBARAN AJARAN SESAT PERLU DIBENDUNG KERANA IA BUKAN SAHAJA MENYESATKAN UMAT ISLAM MALAH AKAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA JIKA DIBIARKAN TERUS BERKEMBANG
JAKIM telah mentakrifkan ajaran
sesat sebagai:
“sebarang ajaran atau amalan yang
dibawa oleh orang Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut
adalah berdasarkan ajaran Islam yang
benar, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan
daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta juga
bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah’.
Penyebaran
ajaran sesat boleh mempengaruhi dan menyesatkan umat Islam di negara ini yang
lemah pegangan agamanya. Selain itu, ia juga boleh menghakis perpaduan dan
keharmonian masyarakat di negara ini. Malah ajaran sesat pernah menyebabkan
berlakunya pertumpahan darah dalam masyarakat sebelum ini. Sebagai contoh, pada 7 Julai 1979, terdapat
seorang individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi telah mencederakan seorang
imam di Masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak. Selain itu, sebuah ajaran sesat
pengikut Imam Mahdi telah menyerang Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober
1980. Dalam satu peristiwa yang lain pula, serangan dan pencerobohan terbesar
kumpulan ajaran sesat pernah dilakukan oleh kumpulan Al-Maunah terhadap Kem Batalion
Askar Wataniah di Gerik, Perak pada 6 Julai 2000. Oleh itu, penyebaran ajaran
sesat ini perlu dibendung segera supaya pengaruhnya tidak terus berkembang di
negara ini yang dibimbangi akan memberi satu lagi ancaman kepada keselamatan
negara ini.
Justeru itu, ajaran sesat bukan sahaja akan memberi kesan buruk terhadap individu, malah ia juga akan memberi ancaman yang lebih besar kepada keselamatan negara jika tidak dibendung dari sekarang. Islam adalah agama yang mengatur sistem hidup yang lengkap yang meliputi segala aspek kehidupan manusia. Islam juga merupakan agama yang telah lengkap dengan perutusan Nabi Muhammad S.A.W sebagai nabi dan rasul terakhir. Oleh itu, sebarang dakwaan sama ada wujudnya kitab lain selain al-Quran, dakwaan kemunculan nabi baru, syariat baru, tafsiran baru pastinya merupakan ajaran menyeleweng dan sesat yang perlu dijauhi oleh umat Islam di negara ini.Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’, ayat 4:
Maksud: “Dan sesiapa yang
menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran
pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan
orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan
(kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan
memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah
seburuk-buruk tempat kembali.”
Sumber: Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS), JAKIM
Comments
Post a Comment