PENYEBARAN FAHAMAN LIBERAL BOLEH MENCETUSKAN KONFLIK DALAM MASYARAKAT YANG AKAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA
Liberalisme adalah satu
bentuk fahaman sekularisme iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu
tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama. Persoalannya, mengapa fahaman
liberalisme ini dianggap bahaya dan boleh memberikan ancaman keselamatan kepada
negara?
Di Malaysia, golongan
Islam Liberal ini dilihat mula memperjuangkan pelbagai isu bertujuan
menyebarkan idea liberalisme secara meluas. Antaranya ialah memperjuangkan
fahaman pluralism agama dengan menyamaratakan semua agama, agar kedudukan agama
Islam sebagai agama rasmi dapat dihapuskan.
Perkara ini secara tidak
langsung boleh membawa kepada gejala murtad lebih-lebih lagi apabila terdapat
salah satu tuntutan Surahanjaya Antara Agama (Interfaith Commission) supaya
membenarkan orang Islam murtad tanpa dikenakan apa-apa halangan dan tindakan.
Selain itu, golongan
fahaman ‘Islam liberal’ juga berusaha untuk menghapuskan kedaulatan agama Islam.
Mereka menyatakan bahawa agama Islam dalam perlembagaan hanya sekadar agama
rasmi sahaja. Tujuannya supaya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara
sekular berpaksikan demokrasi liberal yang tidak terikat dengan agama Islam.
Mereka turut menentang
pemerkasaan terhadap Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah. Malah, mereka
juga berani bercadang untuk menghapuskan institusi-institusi agama Islam di
Malaysia.
Secara jelasnya, fahaman liberalisme ini yang menafikan wujudnya hubungan antara agama dengan kehidupan dan menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan perlu dibendung penyebarannya. Dikhuatiri perpecahan boleh berlaku dalam kalangan masyarakat dan akhirnya mengancam keselamatan negara.
Sumber: Majlis Agama
Islam Selangor.
Comments
Post a Comment