SENTIASA BERDOA KEPADA ALLAH AGAR DITETAPKAN HATI DAN IMAN DALAM KETAATAN DAN BEROLEH KETENANGAN


Firman Allah SWT:

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (QS Al Mu’min: 60)

Hidup setiap manusia di muka bumi ini mempunyai jalur penceritaan yang berbeza. Ada yang manis dan ada juga yang pahit. Namun, sebagai umat Islam kita telah dipersiapkan dengan rujukan sebagai garis panduan kepada kita untuk melalui liku-liku kehidupan di dunia iaitu al-Quran. Di dalam al-Quran, umat Islam telah diperingatkan agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT bukan sahaja di masa sedih, malah di waktu senang sebagai tanda syukur.

Di samping itu, umat Islam juga sentiasa digalakkan untuk selalu berdoa kepada Allah agar ditetapkan hati dan iman supaya berada dalam ketaatan dan beroleh ketenangan. Hal ini kerana manusia tidak lari dari melakukan kesilapan dan hati mereka sentiasa berbolak-balik. Oleh itu, adalah wajib kepada setiap umat Islam agar tidak sesekali lupa untuk berdoa kepada Allah di dalam setiap perkara. Seperti doa Rasulullah SAW:

“Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (Hadith riwayat Muslim, No: 2654)

Berdoalah, kerana dengan doa dapat mempertingkatkan iman kita terhadap Allah SWT. Dengan berdoa, kehidupan kita sentiasa diberkati dan dirahmati dan Allah SWT akan menjauhkan kita daripada segala mara bahaya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

 

 


Comments