UMAT ISLAM PERLU MEMPELAJARI ILMU AGAMA AGAR DAPAT MEMBINA JATI DIRI DAN MEMAHAMI KONSEP JIHAD YANG SEBENAR SERTA TIDAK MUDAH TERPENGARUH DENGAN KONSEP JIHAD KUMPULAN MILITAN


    Berdasarkan laporan yang pernah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2014, lebih kurang 30,000 sukarelawan dari seluruh dunia telah mengembara ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Islamic State (IS) serta beberapa kumpulan militan yang lain. Daripada jumlah itu, kira-kira 60 orang rakyat Malaysia masih berada di Syria dan menyertai IS.

    Firman Allah SWT:

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenarbenarnya.” (QS al-Hajj: 78)

    Seharusnya, umat Islam di negara ini lebih bijak dalam menghayati konsep jihad yang sebenarnya. Ini kerana jihad bukanlah semata di medan peperangan sahaja tetapi ia meliputi jihad melawan musuh yang nyata, jihad melawan syaitan dan yang paling utama jihad melawan nafsu. Manusia sering sahaja terpedaya dengan pelbagai “godaan” para “ulama wayang” dengan mengatakan bahawa melibatkan diri di dalam perperangan adalah jalan pintas bagi penghapusan segala dosa dan juga ke syurga tanpa hisab. Walhal mereka tidak tahu bahawa mereka telah diperdaya dan dijadikan alat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan cuba mewujudkan permusuhan sesama manusia.

    Oleh itu, umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap perkara-perkara seperti ini. Jangan biarkan diri kita dijadikan bahan eksperimentasi puak-puak radikal yang kononnya berjuang atas nama Islam dan Allah SWT tetapi menerapkan nilai kekerasan dalam setiap tindakan. Sesungguhnya, mereka langsung tidak menggambarkan ciri-ciri akhlak Islamiyyah yang betul. Sebagai contoh, kumpulan Al-Maunah yang percaya dengan melancarkan perperangan terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan pemerintah Malaysia akan menjadikan sistem pemerintahan negara ‘disucikan’ dan mereka dipandang mulia di sisi Allah SWT.

    Ini antara sebab umat Islam diseru untuk mempelajari ilmu agama dan kerohanian, kerana dengan mempelajarinya kita dapat membina jati diri dan memahami konsep jihad yang sebenar sebelum menghadapi jihad yang nyata. Jihad di jalan Allah adalah jihad dalam melindungi diri kita daripada sebarang bahaya yang boleh memudaratkan diri kita.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

 

 


Comments