BERSAMA MENCEGAH PERMUSUHAN, ERATKAN LAGI TALI PERSAUDARAAN SESAMA UMAT ISLAM



Di dalam norma kehidupan manusiawi, tidak dapat dinafikan wujudnya perasaan-perasaan negatif yang sesama kita. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi masa kini yang ‘kaya’ dengan pelbagai platform media sosial, ini membuatkan jurang permusuhan itu semakin besar dengan perbuatan menghasut, menghina, memaki hamun, menyindir (troll) dan sebagainya. Bukankah di dalam al-Quran ada menyeru umatnya agar sentiasa menjaga ikatan silaturahim sesama Muslim agar tidak mudah dipengaruhi oleh musuh-musuh Islam?

    Allah SWT berfirman:

    “Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata.” (QS al-Ahzab: 58)

    Maka, jelas di sini bahawa tindakan memusuhi sesama manusia itu sangat dibenci oleh Allah SWT. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri menegah umatnya agar tidak berkata atau melakukan sesuatu hal yang buruk terhadap manusia lainnya hatta manusia itu bukanlah datang dari golongan Muslimin. Sepatutnya kita sebagai seorang umat Islam berpegang teguh dengan ajaran dan panduan yang digariskan dalam Islam serta mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa yang pernah berlaku di negara ini.

    Jika datang pada kita satu berita yang tidak diketahui kesahihannya, maka selidiki dahulu kebenarannya. Boleh jadi si pembawa berita tersebut ingin mewujudkan jurang permusuhan di antara kita dan pihak lain kerana sifat iri hati yang tidak dapat dibendung. Selain itu, setiap inci percakapan kita juga harus dijaga agar tidak menyakiti perasaan orang lain. Sekiranya ada berlaku salah faham, maka selesaikanlah dengan sebaik-baiknya. Janganlah kita memburukkan lagi keadaan dengan perbuatan menyindir dan berkata kesat kerana cara itu hanya memburukkan lagi keadaan.

    Wahai umat Islam yang mengaku diri kita Islam, yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan mengaku mengikuti ajaran Rasulullah SAW, tetapi mengapa di dalam hati kita masih lagi ada sifat mazmumah? Bukankah bersabar dan beristighfar itu perbuatan lebih indah dari berkata yang buruk? Maka bersabar dan cuba untuk mencegah permusuhan dan mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama umat Islam.

    Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah seseorang itu menyambung silaturrahim” (HR al-Bukhari: 4830)

Sumber: Harian Metro “Mencegah Permusuhan” (22 Januari 2019) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

 


Comments