BUDAYA 'TROLL' (MENYEBARKAN SINDIRAN BURUK UNTUK MEMFITNAH DAN PROVOKASI DI INTERNET) PERLU DIKAWAL UNTUK MENGELAKKAN BUDAYA MEMFITNAH DAN MEMBANGKITKAN PERMUSUHAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Dalam
bahasa mudah, troll merupakan slanga internet yang merujuk kepada
perbuatan individu yang memulakan pertengkaran atau mengalihkan perhatian atau
menyebarkan perselisihan dalam media sosial dengan menyiarkan mesej bersifat
provokatif, sarkastik dan agresif. Pelaku troll biasanya
membuka akaun palsu menggunakan profil mangsa mereka untuk dijadikan bahan
sindiran dan jenaka. Pelaku troll juga menggunakan nama
samaran dan profil palsu (pseudonym) untuk melakukan serangan peribadi
ke atas individu lain.
Namun,
zaman ini perbuatan troll kini semakin menjadi-jadi terutamanya di kalangan
ahli-ahli politik dan juga rakyat biasa. Bahkan, institusi diraja pun tidak
terkecuali daripada terkena tempiasnya. Ini menjadi ikutan generasi muda yang
menganggap itu adalah suatu hal yang biasa dan lebih ditakrifkan sebagai satu
bentuk kebebasan bersuara. Adakah tepat tindakan itu?
Sabda
Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara
dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa
diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang
kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (HR Ahmad:
7215)
Mengambil
iktibar ini, seseorang itu tidak sepatutnya melontarkan apa sahaja yang mahu
dikatakan atau dikongsikan tanpa rasa bertanggungjawab dan beretika. Sebagai
netizen sekalipun, kita juga perlu berakhlak mulia di alam maya. Lantaran
itu, sesuatu troll meskipun berlandaskan maklumat dan fakta, namun tidak boleh
dijadikan sebagai petunjuk atau manifestasi bahawa ia beretika dan berlandaskan
kebenaran, atau cuba sekadar sindrom penafian seseorang yang masih dilamuni
kegagalan. Sesungguhnya Islam melarang keras umatnya meniru atau cuba
memperlihatkan amalan troll ini sebagai sebahagian daripada kebiasan hidup
kerana perbuatan ini juga termasuk dalam dosa memfitnah dan mengadu domba.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Tidak
masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Jika
begini yang dimaksudkan dengan troll, maka ia jelas bertentangan
dengan akhlak dan adab Islam. Bahkan amat jauh sekali daripada sifat seorang
mukmin yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Justeru, dalam konteks
negara hari ini, perbuatan menyerang mesti dipantau kerana kita tidak mahu
tabiat buruk menghalang penyemaian nilai murni masyarakat dan pembangunan
negara terutamanya apabila melibatkan sahsiah generasi masa hadapan. Maka,
wajarlah perkara ini dikekang demi melahirkan generasi yang mempunyai adab dan
akhlak yang unggul.
Sumber:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian “Budaya 'troll' dan
kemusnahan nilai moral” (27 Januari 2019)
Comments
Post a Comment