Istilah
jihad telah menjadi istilah yang menakutkan (logophobia) pada masa kini. Ini
berikutan penggunaannya dalam konteks yang sempit oleh golongan ekstremisme
agama. Malangnya, konsep jihad yang murni dan luas telah dicemarkan dengan
fahaman dan tindakan melampaui batas sehingga menyebabkan istilah jihad menjadi
negatif kepada sebahagian masyarakat dunia.
Fenomena
ini dikatakan timbul kesan daripada salah faham dalam mentafsirkan ajaran agama
khususnya berkaitan fiqh jihad yang menjadi salah satu unsur penting ideologi
ekstremisme agama. Kefahaman terhadap fiqh jihad dan lain-lain isu berkaitannya
perlu diberikan perhatian kerana salah faham dan kepercayaan yang ekstrem dalam
aspek tersebut menjadi penyebab utama aksi keganasan dilakukan.
Firman
Allah SWT:
“Dan
tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di
antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara
mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar
kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka;
mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (QS
at-Taubah: 122)
Dari
sudut pandangan ayat ini, boleh ditakrifkan bahawa bukan semua “pejuang” agama
Allah itu betul dalam segala hal. Maka, kita sebagai umat Islam yang mengikuti
amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah wajar untuk mencari ilmuan atau ulama yang
sebenar agar kita bisa selami dan fahami konsep sebenar jihad yang diseru oleh
Allah dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Jika diperhatikan dengan teliti
kalimah berkaitan jihad yang disebut dalam al-Quran mahupun hadis meliputi
makna yang begitu luas.
Oleh
itu, janganlah kita tergesa-gesa dalam mentakrifkan perkataan jihad dan
menyamakannya dengan ideologi kumpulan-kumpulan militan. Ini kerana ia telah
diselewengkan demi untuk melunaskan ‘nafsu’ pemimpinnya. Bahkan hampir kesemua
ulama terkenal dunia menolak pengisytiharan 'Dawlah Islamiyah' yang kononnya
disifatkan oleh gerakan-gerakan militan ini sebagai sebuah “kerajaan yang sah”
walhal ia sama sekali tidak mewakili keseluruhan umat Islam dan hanya mewakili
kumpulan kecil umat Islam dari kumpulan pengganas itu sahaja.
Fahaman
ekstremisme dalam kumpulan militan yang menggunakan alasan jihad untuk
menghalalkan keganasan dilakukan kerana jahil agama dan menerima sumber
maklumat yang salah. Justeru, satu kefahaman betul perlu diterapkan oleh semua
pihak khasnya ulama, pendakwah dan asatizah terhadap penggunaan istilah jihad
supaya tidak disalahertikan sebagai punca keganasan. Konsep jihad sangat luas
dan terjemahan literalnya bererti kesungguhan. Malah berdasarkan sejarah hidup
Nabi Muhammad SAW itu sendiri, jihad bermula dengan suasana aman iaitu
berdakwah dan berperang hanyalah jalan terakhir.
Sumber:
Kajian Universiti Malaya “Penyalahgunaan Konsep Fiqh Jihad Oleh Kumpulan
Ekstremisme Agama: Satu Analisis”, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita
Harian “Tangani salah faham jihad elak generasi muda tersesat” (17 Mac 2015)
Comments
Post a Comment