GERAKAN HIZBUT TAHRIR BOLEH MENCETUS HURU-HARA DAN MENGGUGAT KEHARMONIAN UMAT ISLAM DI NEGARA INI


Menurut Hizbut Tahrir, mereka berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan menjalankan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia dan memperjuangkan sistem Khilafah Islam yang akan memimpin serta mengawal pemikiran dan perasaan masyarakat agar ia sesuai dengan syariat Islam.

    Mereka mendakwa bahawa hukum Islam telah ditinggalkan oleh umat Islam, samada secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Oleh itu, dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir menyeru umat Islam (termasuk pemimpin mereka) agar kembali menerapkan Islam di dalam kehidupan mereka.

    Jika kita melihat secara umum, tujuan yang ingin dicapai oleh Hizbut Tahrir itu tidak salah, namun adakah cara pelaksanaannya menepati seperti mana yang diajarkan di dalam Al-Quran dan Hadis adalah perkara yang perlu kita soroti semula.

    Umpamanya dalam menegakkan sistem Khilafah Islam, mereka boleh meminta pertolongan daripada mana-mana kuasa yang kuat walaupun daripada kuasa bukan Islam demi mencapai matlamat menubuhkan Daulah Islam dan Khilafah Islam. Ini adalah sesuatu fahaman yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam.

    Di samping itu, perjuangannya yang menolak semua sistem yang diamalkan oleh negara kita sekarang yang dikatakan tidak mengikut sistem Islam, mengkafirkan pemerintah, malah menjalankan dakyah untuk mengajak masyarakat Islam supaya bangkit untuk tidak menyokong pemerintah dan apa yang dilaksanakan oleh pemerintah negara ini, sudah cukup menimbulkan huru hara dan boleh mendatangkan ancaman keselamatan jika dibiarkan terus berkembang mempengaruhi masyarakat di negara ini. Ia juga akan menyemai bibit-bibit militan yang akan mudah mempengaruhi rakyat untuk bangun memberontak menentang kerajaan.

    Fahamannya memang bercanggah dengan perjuangan Islam yang sebenar yang sedang diusahakan oleh kerajaan melalui konsep keserdahanaan bukannya  kekerasan dan keganasan.

    Oleh itu, pencegahan dari awal perlu dilakukan sebelum fahaman ini berkembang. Walaupun gerakan HTM ini nampak seperti tidak merbahaya, namun percayalah sekiranya tidak dibendung dari awal lagi sehingga keadaan menjadi tidak terkawal, ia akhirnya akan menggugat  keselamatan negara ini.

 

Sumber: Journal Terrorism and Political Violence (2010), No. 22(4)


Comments