Mutakhir
ini, kita melihat banyak sekali perlakuan menghina dan mengaibkan orang lain
tidak kira melalui perkataan mahupun gambar dan video yang bertebaran di
laman-laman sosial. Malah, perlakuan ini telahpun dianggap suatu perkara yang
normal di kalangan para remaja dengan menganggap ini suatu bahan gurauan
semata-mata.
Tahukah
kita bahawa perbuatan tersebut boleh mengundang kepada gejala bunuh diri? Ini
bukanlah perkara yang baru di Malaysia, malah ada beberapa kes yang melibatkan
pengaiban ke atas diri mangsa dan paling menakutkan mereka adalah golongan
belia. Sebagai contoh, kejadian buli di Johor yang melibatkan seorang pelajar
sekolah berusia 17 tahun pada 2 Mac yang lalu. Remaja berkenaan terjun dari
tingkat empat bangunan kedai akibat tidak tahan dibuli dan dihina oleh dua
orang rakan sekolahnya.
Rasulullah
SAW bersabda:
“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah
yang paling baik akhlaknya.” (HR al-Tirmizi: 1162)
Islam
amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang
baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Tiada insan di dalam
dunia ini yang mahu atau meminta untuk dirinya dilahirkan atau dijadikan
sebagai yang kurang sempurna dan mempunyai cacat cela. Jangan kita
mengejek-ngejek atau menghina orang lain walaupun individu itu musuh kita,
bukan Islam dan sebagainya kerana mereka tetap makhluk-makhluk Allah SWT.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain,
(kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang
menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain
(kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita
(yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu
panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah
(panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS al-Hujurat: 11)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan, Harian Metro “Umat Islam ditegah menghina ciptaan Illahi” (13
November 2019) dan Sinar Harian “Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan
bangkai saudaranya yang sudah mati” (28 Februari 2020)
Comments
Post a Comment