Salam Maal Hijrah 1442H- UMMAH RABBANI NEGARA HARMONI

Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan tunjang dalam diri seseorang untuk menghadapi dunia yang penuh dengan pancaroba.
Menurut Said Hawwa dalam risalah beliau, Ihya’ al-Rabbaniyyah, perlunya penguasaan pengetahuan Islam, penekanan akhlak Islamiyah yang sempurna, penyuburan rohani serta berparadigma yang sejajar dengan tuntutan arus perdana dalam membentuk modal insan rabbani.

Dalam menghadapi wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun ini, Malaysia dilihat tetap menunjukkan semangat harmoni tidak mengira bangsa dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan. Hampir seluruh rakyat Malaysia memahami tujuan PKP dan ternyata hasilnya membawa kesan positif kepada rakyat dan membuatkan Malaysia dipuji oleh negara luar serta menganggap Malaysia cekap dalam menguruskan krisis penularan COVID-19.

Bertambah harmoni apabila saban hari teralun doa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semangat yang dicanangkan oleh beliau diikuti oleh kewibawaan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta para petugas barisan hadapan membentuk suasana harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia untuk terus sama berjuang dalam menghadapi saat getir ini.

Majoriti rakyat berada di rumah, namun dengan kecanggihan teknologi, pelbagai penciptaan kreatif dihasilkan untuk memberi semangat antara satu sama lain seolah-olah wujudnya semacam suasana kehidupan baharu yang ‘walau berjarak diri, namun kecaknaan sentiasa di hati’. 

Barangkali suasana harmoni dalam kehidupan baharu seperti ini jarang dilihat di negara lain. Oleh itu, syukurilah seadanya sebagai rakyat Malaysia. Suasana apakah lagi yang kita cari?

Sumber: 1. Jurnal Usuluddin, 2019, Universiti Malaya
                2. Berita Harian 18 Ogos 2020
                3. Berita Harian, 30 April 2020.

Comments