SERUAN DAKWAH SONGSANG HIZBUT TAHRIR YANG MEMBAHAGIKAN NEGARA KEPADA 'DARUL ISLAM' DAN 'DARUL KUFUR' BOLEH MENYEMAI FAHAMAN EKSTREMIS

 

Hizbut Tahrir mempunyai pemikiran dakwahnya yang tersendiri. Mereka menyatakan antara sebab kemunduran dunia Islam hari ini adalah berpunca daripada kelemahan umat Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri.

Oleh itu, mereka meletakkan matlamat penubuhan Hizbut Tahrir adalah bertujuan untuk menubuhkan Darul Islam dan Darul Kufur. Darul Islam adalah negara yang mengamalkan sistem Islam dan menjalankan hukum Allah S.W.T. walaupun penduduk majoritinya bukan Islam. Manakala, Darul Kufur ialah negara yang mengamalkan undang-undang selain daripada syariat Islam walaupun penduduk majoritinya Islam.

Ajaran Hizbut Tahrir lebih radikal dari selainnya. Mereka sanggup membuat kacau di majlis-majlis agama tanpa adab dan akhlak. Hizbut tahrir juga cepat memfitnah umat Islam dengan pelbagai gelaran seperi Jabariyyah, Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kumpulan terhina dan lain-lain.

Hizbut Tahrir menghukum seluruh umat Islam tanpa terkecuali semenjak ratusan tahun yang lalu sebagai mati dalam dosa besar bak kekufuran orang jahiliyyah kononnya atas dasar tidak mendirikan khilafah mengikut cara Hizbut Tahrir. Mereka menghina akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengkafirkan yang tidak bersependapat dengannya.

Pemikiran dan pendekatan dakwah Hizbut Tahrir seperti dinyatakan tersebut dilihat ternyata hanya berasaskan pemikiran semata-mata. Praktikalnya adalah mengenepikan segala aspek-aspek yang sepatutnya diberi perhatian seperti pembentukan akhlak dan juga perlaksanaan amar makruf nahi mungkar.

Oleh itu, renung-renungkanlah mengapa kita perlu mengikut fahaman songsang ini sedangkan fahaman Islam yang sebenar sudah cukup lengkap dan sempurna untuk diikuti tanpa ragu-ragu.

 

Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, KUIS

Comments