'TABAYYUN' (MENYEMAK KEBENARANNYA) DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN BERITA PERLU BAGI MENGELAKKAN PERPECAHAN DALAM MASYARAKAT

 

Ramai di antara kita pasti biasa mendengar perkataan Tabayyun, tetapi adakah kita tahu apa maksud sebenar Tabayyun? Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud 'tatsabbut' dan menyemak asas kebenarannya. Menurut Imam al-Syaukani, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” 

Malah, di dalam al-Quran Allah telah memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Firman Allah SWT:

 “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (QS al-Hujurat: 6)

Zaman hari ini, sering sahaja berlakunya fitnah yang berleluasa yang menimbulkan perbalahan sesama umat. Apatah lagi, ditambah dengan kecanggihan teknologi yang menyediakan pelbagai platform media sosial tanpa batas dan kawalan, ia memudahkan berita palsu atau fitnah disebarkan secara meluas. Akibatnya, timbul perasaan tidak puas hati, dendam, amarah yang meluap-luap hingga tidak dapat dibendung akal manusia. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan tercetusnya konflik seperti yang berlaku di negara-negara Arab menerusi ‘Arab Spring’. Akibat penyampaian berita yang tidak tepat, maka terjadinya pemberontakan ini yang mengakibatkan campur tangan negara Barat.

Justeru, sebagai umat Islam yang beriman kita haruslah menyemak terlebih dahulu kebenaran berita yang disampaikan. Boleh jadi yang disampaikan itu datangnya dari golongan yang suka melihat perpecahan sesama umat Islam dan mereka merasa iri hati terhadap perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam. Akhlak dan prinsip yang terkandung di dalam al-Quran mengajar manusia sentiasa bersangka baik dan tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan dalam sesuatu pengkhabaran. Hal ini ditekankan oleh Baginda SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

“Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar. Dan janganlah melihat kesalahan orang lain, dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan (atau berkonspirasi) akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari: 6724)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments