Sesungguhnya manusia itu lahir ke dunia ini dengan adanya mawaddah dan rahmah iaitu cinta dan kasih sayang. Kita lahir ke dunia ini kerana wujudnya kasih sayang Allah yang bersifat Al-Rahman. Perasaan kasih dan sayang ini merupakan fitrah yang diciptakan dalam diri setiap manusia iaitu manifestasi daripada sifat Allah SWT, al-Rahman, iaitu Yang Maha Pengasih. Sesungguhnya atas sifat itulah manusia hidup di dunia ini dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakanNya tanpa mengenal bangsa dan keturunan.
Daripada an Nu’man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya)” (HR Muslim: 4685)
Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.
Adalah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan. Ini kerana hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji.
Oleh itu, jadilah seorang yang penuh dengan kasih sayang di dalam hati kerana berkasih sayang sesama mukmin amatlah dituntut dalam agama Islam demi kesejahteraan bersama. Bahkan, Allah akan memberi jaminan orang-orang yang berkasih sayang akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak dan para Mukmin yang mengikuti perintahNya akan diberi balasan yang sama tarafnya dengan para nabi dan para syuhada’ terhadap orang-orang yang berkasih sayang kerana Allah.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Website Universiti Teknologi Malaysia (people@utm)
Comments
Post a Comment