FAHAMAN HIZBUT TAHRIR DIPENGARUHI FAHAMAN QADARIAH YANG BERCANGGAH DENGAN FAHAMAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.

 

TOLAK HIZBUT TAHRIR


Apabila berbicara mengenai Hizbut Tahrir, kita perlu akui bahawa mereka memiliki keghairahan yang tinggi terhadap agama seperti dakwah mereka untuk mengajak umat Islam memperjuangkan Khilafah Islam, menyeru umat Islam menjalankan  syariah Islam dan menolak kekufuran,  penanaman akhlak Islami dan sebagainya.


Hakikatnya perkara tersebut tidak salah malah digalakkan, namun apa yang dipertikaikan oleh ramai ulama yang muktabar termasuk dipersoalkan oleh ulama-ulama di negara ini adalah mengenai fahaman akidah yang diyakini oleh mereka dikatakan telah terkeluar daripada garis yang ditetapkan oleh fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Sebagai contoh, dalam memahami persoalan Qada' dan Qadar, walaupun Hizbut Tahrir mendakwa mereka tidak ada bezanya dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah,  namun sebenarnya mereka  berpegang kepada hujah yang dibawa oleh pengasas Hizbut Tahrir iaitu Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani. Menurut fahaman Hizbut Tahrir, mereka meyakini bahawa perbuatan manusia yang disengajakan atau tidak disengajakan memang tidak ada hubungannya dengan ketentuan Allah dan ketentuan Allah juga tidak ada hubungan dengannya.


Pernyataan ini secara jelasnya bercanggah dengan keyakinan yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam hal ini, fahaman Hizbut Tahrir ini sebenarnya adalah selari dengan golongan Mu’tazilah, Syiah Imamiyah dan Syiah Zaidiyah iaitu tergolong dalam golongan Qadariah.


Menurut Imam Syafie rahimakumullah, golongan Qadariah dan pengikutnya dalam hal ketidakpercayaan kepada ketentuan Allah terhadap perbuatan mereka yang disengaja sangat mudah dipatahkan. Sebagai contoh jika ditanya kepada mereka benarkah perbuatan manusia yang disengajakan adalah ciptaan dan ketentuan manusia, bukan ciptaan dan ketentuan Allah? Lalu mereka menjawab, benar.


Apakah Tuhan telah mengetahui perbuatan mereka sebelum mereka diciptakan? Sekiranya mereka menjawab tidak tahu bererti mereka telah menisbahkan kebodohan kepada Allah dan hukumnya kufur. Sekiranya mereka menjawab Tuhan mengetahui perbuatan mereka sebelum mereka diciptakan maka jawapan mereka akan melahirkan pertanyaan selanjutnya iaitu siapakah yang merencanakan perbuatan tersebut? sekiranya mereka menjawab mereka sendiri maka jawapan ini tidak rasional.


Oleh itu, jelas bahawa keyakinan atau akidah yang dipegang oleh fahaman Hizbut Tahrir dipengaruhi oleh fahaman Muktazilah dan Qadariah yang jelas terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka perlu kita awasi kerana ia boleh memesong akidah umat Islam di negara ini yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Waj Jamaah.


Sumber: Jawatankuasa Fatwa, Majlis agama Islam Selangor dan  harakatuna.com - "akidah hizbut tahrir bukan ahli sunnah wal jamaah, tapi Qadariah"

Comments