Mutakhir
ini, sering kita lihat banyak insiden-insiden yang melibatkan adab serta
tatasusila. Tidak kira yang muda mahupun yang telah lanjut usia, ada sahaja
insiden yang memalukan dirakam hingga menjadi bahan tontonan masyarakat umum.
Seharusnya perkara ini tidak perlu terjadi kerana rakyat Malaysia dikenali
sebagai rakyat yang mempunyai adab dan akhlak sopan santun yang lebih tinggi
berbanding dengan rakyat di negara-negara luar yang lain.
Sabda
Rasulullah SAW:
“Sayangilah
semua yang ada di bumi, maka semua yang ada di langit akan menyayangimu.” (HR
al-Tirmizi).
Antara
cara yang boleh dipraktikkan dalam menghormati orang tua adalah:
a. Memanggil dengan gelaran serta panggilan
yang baik
b. Bercakap dengan sopan santun
c. Berjalan di belakang atau di sisi bukan
di hadapan orang tua
d. Meminta laluan jika melintasi orang tua
e. Jika dinasihati, dengar dengan baik
walaupun kita mungkin tidak bersetuju
f. Jika ingin menasihati, gunalah saluran
yang betul serta menjaga adab yang baik seperti penggunaan bahasa
yang beradab.
Sementara
cara untuk menyayangi golongan yang muda boleh dilakukan seperti:
a. Memberi contoh yang baik
b. Menasihatkan dengan cara yang baik jika
dia melakukan kesalahan atau kesilapan
c. Ajarlah serta bimbinglah mereka dengan
cara yang terbaik
d. Jangan mengherdik atau memaki hamun
jika dia melakukan kesilapan
e. Hargailah sesuatu yang telah
dilaksanakan walaupun kecil
f. Elak dari merendah dan meremehkan apa
yang dilakukan oleh mereka
Islam
adalah agama yang mengajak umatnya untuk berkasih sayang dan saling
menghormati. Kasih sayang adalah penghubung tali persaudaraan sesama manusia.
Golongan tua adalah merupakan individu penting dalam membentuk golongan muda
dengan sifat kasih sayang antara satu dengan yang lain. Mereka perlu melayani
dan membimbing golongan muda dalam kalangan anak-anak atau remaja dengan penuh
kasih sayang.
Oleh
itu, umat Islam di negara ini hendaklah meyakini bahawa kasih mengasihi sesama
manusia adalah perintah daripada Allah SWT kepada semua umat manusia dan
menyedari bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan kesejahteraan hidup
dengan berkasih sayang. Bukan itu sahaja, umat Islam disarankan untuk memupuk
sikap saling menghormati antara golongan yang tua dengan golongan yang lebih
muda.
Ingat,
Rasullullah SAW tidak akan mengakui sebagai umatnya kepada orang yang tidak
menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua melalui hadis daripada
Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang
tidak menyayangi orang yang kecil di antara kami dan tidak memahami hak orang
yang lebih besar di antara kami, maka ia bukan dari golongan kami.” (HR Abu
Daud).
Sumber:
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment