UMAT ISLAM DITUNTUT SUPAYA MEMADAMKAN API PEPERANGAN DAN MENJULANG KEAMANAN

Umat Islam hari ini disarankan untuk memperjuangkan keamanan lebih-lebih lagi dunia Islam yang memerlukan keamanan. Ini kerana beberapa insiden hitam yang berlaku membabitkan dunia Islam menuntut semua pihak menggembleng usaha dan tenaga bagi memadamkan api peperangan yang sedang marak menyala.

Sejak tahun 2014 kita sudah mendengar pelbagai berita mengenai rakyat Malaysia yang meninggal dunia ketika ‘berjihad’ di kawasan-kawasan perang seperti Syria dan kawasan sekitarnya. Dalam konteks ini, bukan soal hukum dan fatwa berkenaan mati syahid yang harus dibicarakan. Tetapi, soal manusia sejagat yang mempunyai hak untuk hidup aman dan harmoni. Mengapa perlu ada peperangan dan kemusnahan di kalangan umat Islam sedangkan kita tahu membunuh itu hukumnya berdosa?

Firman Allah SWT:

“Allah menyeru manusia ke tempat yang aman, dan Dia memberi petunjuk kepada jalan yang benar.” (QS Yunus: 25)

Islam adalah agama keamanan dan nilai itu merupakan elemen paling kuat untuk menjamin hak manusia serta memelihara lima maqasid utama syariah daripada kemusnahan iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kebanyakan krisis yang berlaku di dunia hari ini berpunca daripada salah faham masyarakat terhadap konsep khilafah, kebaikan dan mencegah kemungkaran, jihad dan konsep taat kepada pemerintah.

Oleh itu, tiada alasan untuk kita menyemarakkan lagi api peperangan di kalangan manusia dan seharusnya perkara itu digantikan dengan konsep menjulang keamanan. Islam sebenarnya membawakan misi keamanan dan keharmonian kepada manusia. Semua Nabi dan Rasul utusan Allah SWT diakui oleh umat Islam sebagai utusan-Nya. Malah, kehadiran manusia kepelbagaian agama juga adalah kejadian Allah yang seharusnya diterima dan dihormati oleh umat Islam.

Sumber: Berita Harian “Dasar keamanan dan peperangan dalam Islam” (7 Ogos 2016)

 

 

Comments