Perlu ditegaskan bahawa
isu ajaran sesat bukanlah suatu isu yang boleh dipandang ringan dan ditangani
secara sambil lewa sahaja. Isu ajaran sesat merupakan satu isu yang amat
penting kerana ia menyentuh kehidupan dan akidah seseorang Muslim.
Melihat kepada
perkembangan ajaran sesat yang semakin banyak bercambah, timbul satu persoalan
setakat manakah ajaran sesat boleh memberi kesan kepada keislaman dan keimanan
seseorang pengikut dan pengasas ajaran tersebut selain ia memberi ancaman yang
cukup besar kepada masyarakat dan negara dari aspek keharmonian masyarakat dan
keamanan negara.
Secara dasarnya, bolehlah
dirumuskan bahawa ajaran sesat ini adalah merujuk kepada penyelewengan di dalam
akidah dan syariah dan terbahagikan kepada tiga bentuk:
i. Penyelewengan Dalam Bentuk Ajaran Baru iaitu sesuatu amalan
yang diperkenalkan yang sama sekali tidak pernah dibawa oleh Rasulullah SAW dan
bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Hadis.
Ajaran bentuk ini
biasanya lahir melalui ajaran-ajaran yang direka atau dicipta oleh guru atau
penganjur ajaran sesat yang menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Ilmu
Hakikat Jahar Dumin pada tahun 1995 di Selangor, Ajaran Ayah Pin, Ajaran
Kumpulan Wahyu Allah, Ajaran Tuhan Haron dan lain-lain.
ii. Penyelewengan Dalam Bentuk Tariqat
(cara mendekatkan diri kepada Allah) sehingga tidak lagi terikat kepada syariat
Islam dan menganggap guru sebagai suci dan menyucikan dosa.
Biasanya menggunakan
nama-nama tariqat yang termasyhur melalui guru-gurunya menggunakan bentuk
amalan yang berbeza dengan yang asal atau ianya diubahsuai seperti iktikad yang
ada pada sebahagian golongan tarekat yang menganggap bahawa sesiapa yang sudah
sampai kepada peringkat tertentu dalam amalan atau tarekat yang mereka ikuti
maka dia tidak lagi bergantung kepada syariat seperti tidak perlu lagi solat,
puasa, jihad dan sebagainya.
iii. Penyelewengan Dalam Bentuk Amalan
Tradisi yang membawa kepada kesyirikan.
Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap wali, kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang dan bomoh dalam rawatan tradisional, pemujaan kubur atau pembawa ilmu tertentu sama ada melalui menurun dan sebagainya seperti mencampur-adukkan akidah Islam dengan akidah Majusi, Nasrani yang melahirlah ajaran berbentuk ‘batiniah’ seperti roh perawat bagi membantu pesakit atau menyelesaikan masalah mereka. Semua amalan yang dilakukan adalah amalan-amalan syirik yang boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam.
Dalam keadaan tertentu
tindakan undang-undang perlu diambil terhadap golongan yang berdegil dan masih
mengamalkan akidah Islam yang menyeleweng. Usaha untuk menjaga keharmonian
akidah Islam adalah satu usaha yang perlu di jalankan dengan penuh rasa
tanggungjawab dan bukannya sekadar untuk memenuhi kehendak undang-undang
sahaja.
Tidak dapat dinafikan
bahawa pengamal–pengamal ajaran sesat boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan
Jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan kesalahannya. Apa yang
lebih penting ialah di dalam undang-undang berkaitan dengan ajaran sesat
bagaimana ia boleh digunakan bagi memberi peluang kepada mereka yang telah
tersesat kembali ke pangkal jalan. Ia bukan mengutamakan hukuman kepada pesalah
tetapi yang lebih mustahak umat Islam tidak terpengaruh dan dipengaruhi oleh
ajaran sesat tersebut dan mereka yang telah terlibat akan bertaubat.
Sumber: Jurnal Usuluddin,
Bil 26 (2007), Universiti Malaya.
Comments
Post a Comment