BAHAYA FAHAMAN ISLAM LIBERAL!!! FAHAMAN YANG BERASASKAN SEKULARISME DAN BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM YANG BENAR

Pada hari ini golongan sekular dan liberal pada umumnya melakukan generalisasi bahawa semua agama adalah anti kemajuan, konservatif, teokratik dan tidak rasional. 


Jika agama Kristian terpaksa tunduk kepada sekularisme akibat kegagalan gereja dalam memimpin masyarakat Barat ke arah kemajuan dan pembangunan, namun kegagalan serupa tidak boleh diulangi untuk diperlakukan ke atas agama Islam. Islam selayaknya dibezakan daripada agama Kristian kerana Islam adalah agama wahyu yang berasal daripada petunjuk dan ketetapan yang jelas daripada Allah dan RasulNya dan disampaikan oleh ulama sebagai pembawa risalah Rasulullah SAW.


Islam perlu dibezakan sama sekali dengan ideologi dan isme ciptaan manusia. Islam tidak boleh dirujuk dengan pentafsiran yang sempit dan melampau kerana setiap persoalan tentang kehidupan telah dijelaskan sejelas-jelasnya oleh Rasulullah SAW. Islam sebagai agama yang lengkap dan menyeluruh telah menggariskan peraturan tentang sistem kehidupan dan memiliki cara pandang tersendiri dalam hal-hal ibadah, politik, ekonomi, moral dan sebagainya.


Ajaran Islam telah terbukti membawa rahmat keseluruhan alam. Islam telah membangunkan peradaban di timur dan barat yang membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan, penindasan, pengkastaan, perhambaan dan mengangkat darjat masyarakat berbilang kaum dan budaya agar menjadi manusia yang bertamadun dan berakhlak.


Persoalannya, adakah liberalisme bertentangan dengan Islam? Liberalisme adalah kesinambungan daripada sekularisme. Seseorang yang berpegang kepada liberalisme semestinya telah terlebih dahulu menerima sekularisme yang hakikanya tidak lagi melihat agama sebagai panduan dan sumber rujukan dalam menentukan benar dan salah, baik dan buruk. 


Agama tidak lagi dilihat sebagai rujukan dalam ilmu dan kebenaran, sebaliknya melihat manusia berkuasa sepenuhnya menentukan nasibnya sendiri, hakikat dan peranannya di muka bumi, falsafah moralnya sendiri iaitu tanpa panduan daripada Tuhan dan wahyu.


Oleh itu, dengan kewujudan fahaman yang dikatakan sebagai Islam liberal, adakah ianya masih selari dengan ajaran Islam yang sebenar sekiranya asas kepada fahaman liberal itu adalah bersumberkan sekularisme. Fikir-fikirkan.


Sumber: Jurnal Afkar. Vol. 20(2) 2018-  Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah.

Comments