ISLAM BUKANLAH AGAMA KEGANASAN DAN PEPERANGAN TETAPI AGAMA PERDAMAIAN DAN PENUH KASIH SAYANG

Islam adalah agama kedamaian dan kasih sayang. Keindahan dan kecantikan Islam ini telah terbukti berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah ketamadunan Islam dan hakikat Islam itu sendiri. Walau bagaimanapun, keindahan itu seolah telah diragut dengan segala tohmahan dan fitnah daripada pihak musuh yang melabelkan agama Islam sebagai agama keganasan dan peperangan.

Islam menentang segala bentuk kezaliman, penindasan, kekejaman dan keganasan. Malah dalam sejarah, Islam jugalah yang menyatukan kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang setelah sekian lama bermusuhan. Salah faham mengenai hal ini bukanlah perkara baru, ia timbul apabila masyarakat tidak faham asas dan dasar agama Islam. Mereka menghukum agama Islam melalui tindak-tanduk penganutnya dan salah faham yang dicetuskan oleh musuh agama Islam sendiri yang sengaja menabur pelbagai fitnah untuk kepentingan mereka.

Namun, konsep Islam agama perang dan keganasan harus di perbetulkan bagi mengelakkan salah faham terhadap agama Ibrahim ini. Islam tidak menggalakkan peperangan dan permusuhan, sebaliknya Islam amat menyintai kedamaian dan harmoni. Cuma apabila segelintir pihak yang ekstrim menggunakan nama Islam untuk kepentingan diri dan kuasa, itu suatu hal yang tidak betul.

Firman Allah SWT:

“Oleh itu, orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (QS An-Nisa: 74)

Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian sesama insan. Ajaran Islam menekankan hubungan baik bukan sahaja dengan saudara seagama, malah kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim yang baik sentiasa menjunjung ajaran Islam dan tidak pernah bertindak melainkan semuanya adalah tindakan yang baik.

Jika datang kepada kita dakyah yang menggunakan perkataan peperangan dan keganasan tanpa sebab yang munasabah dan alasan atas nama Islam, percayalah itu bukan ajaran Islam sebenar. Itu adalah doktrin puak2 pelampau dan eksterimis yang mahu menggunakan kita sebagai ‘benteng’ mereka untuk nafsu dan sifat ketamakan dalam memerangi kerajaan atau negara dengan tujuan mencuri hasil.

 

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Harian Metro “Islam suka perdamaian” (1 April 2019)

 

 

 


 

Comments