JADILAH ORANG YANG DIREDHAI OLEH ALLAH SWT DAN BUKAN DIBENCI OLEHNYA (LAKUKAN 3 PERKARA DAN TINGGALKAN 3 PERKARA)

Hidup di dunia ini penuh dengan dugaan dan cabaran bila mana manusia akan diuji oleh Allah SWT sama ada mereka patuh atas kehendak-Nya atau sebaliknya yang bakal mengundang kemurkaan dan bala. Setiap manusia yang beriman dan bertakwa akan sentiasa menjalankan suruhanNya tanpa banyak soal dan sentiasa bersyukur. Manakala golongan yang mementingkan hawa nafsu akan sentiasa melakukan sesuatu kesalahan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan mengkufuri nikmatNya.

Dari Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah meredhai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredhai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu.  Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta”. (HR Ahmad: 8444) 

Oleh itu, kita hendaklah berusaha untuk menjadi sebahagian daripada golongan yang diredhai oleh Allah kerana hidup kita di dalam dunia ini telah dijanjikan dua destinasi, syurga ataupun neraka. Sudah pasti kita mahukan ganjaran yang terbaik buat diri kita. Jadilah seseorang di dalam tiga perkara yang diredhai Allah SWT seperti menjaga amal ibadah dan tidak menyukutukanNya, berpegang teguh terhadap agama Islam dan tidak berpecah belah dan sentiasa nasihat menasihati dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

Janganlah kita menjadi sebahagian daripada golongan yang dibenci Allah SWT dengan cara mempercayai kepada khabar angin, banyak bertanya kepada benda yang tidak perlu dan membazir atau boros kepada benda-benda yang tidak mendatangkan faedah. Ini kerana amalan sebegitu kelak akan membawa kepada kebinasaan terhadap diri sendiri. Berusahalah untuk menjadi hamba yang diredhai oleh Allah SWT kerana ganjaran syurga sudah pasti menanti kita di hari akhirat nanti

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS al-Hujurat: 13)


Sumber: Website Universiti Teknologi Malaysia (people@UTM)


 

Comments