JANGAN TERPENGARUH DENGAN IDEOLOGI MILITAN, "JIHAD ADALAH PERANG" KERANA DALAM ISLAM JIHAD PERANG HANYALAH UNTUK MEMPERTAHANKAN DIRI, AGAMA DAN NEGARA DARI SERANGAN MUSUH

Mati syahid semestinya sudah menjadi impian dan cita-cita setiap umat Islam di dunia. Ini kerana setiap daripada kita ingin masuk dalam syurga tanpa perlu melalui hisab di mahkamah Allah. Namun, jangan sesekali teperdaya dengan janji manis para puak pelampau ataupun militan yang memperdagangkan nama Islam kononnya jika kita berjihad menyertai kumpulan mereka untuk berperang menentang musuh, maka syurga sudah tentu di depan mata.

Peperangan yang dibolehkan di dalam Islam adalah perang bagi mempertahankan diri, agama dan negara dan bukannya berjihad di luar negara dengan alasan ingin membentuk kerajaan Islam. Islam sendiri tidak menggalakkan kita melakukan keganasan di tempat sendiri apatah lagi di tempat orang lain.

Malah, ada beberapa pandangan ulama yang mengatakan tidak sepatutnya kita yang bukan dari negara bergolak tersebut ikut campur dalam hal sedemikian kerana tidak memahami apa erti sebenar jihad dan cuma didorong dengan rasa berkobar-kobar apabila dibakar dengan semangat jihad, lalu mendorong mereka untuk menyertai kumpulan tertentu padahal sebenarnya mereka tidak berjihad atas nama Islam. Jadi, apakah kewajaran kita untuk menerima ideologi puak ekstremis militan tersebut?

Firman Allah SWT:

"Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan, iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa mempunyai alasan yang benar, namun semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah." (QS al-Haj: 39)

Ketahuilah, jihad ke jalan Allah dan mati syahid dengan melakukan keganasan menyerang, menganiaya dan menyakiti hanyalah wayang puak-puak militan semata. Allah telah memerintahkan, perang hanya boleh dilakukan untuk mempertahankan diri, apabila dianiaya apabila negara diancam bahaya dan kerosakan.

Oleh itu, janganlah kita terpengaruh dengan dakyah-dakyah songsang yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan pendakwah militan yang tidak diketahui asal dan niat mereka. Disebabkan itu perlunya kita untuk mempunyai ilmu terlebih dahulu kerana orang yang menuntut ilmu ini diberi kelebihan dalam mengkaji serta memperhalusi yang mana hak dan yang mana batil. Seperti sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. (HR Muslim: 4867)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian “Dasar keamanan dan peperangan dalam Islam” (7 Ogos 2016)

 

Comments