PENYEBARAN FAHAMAN HIZBUT TAHRIR DI KALANGAN GOLONGAN PROFFESIONAL DAN PELAJAR UNIVERSITI PERLU DIPANDANG SERIUS KERANA IA LEBIH MUDAH MEMPENGARUHI MASYARAKAT AWAM YANG LAIN DI NEGARA INI

    Hizbut Tahrir mula masuk ke Malaysia pada penghujung tahun 1990. Tidak dapat dipastikan bagaimana ideologi Hisbut Tahrir boleh meresap hingga ke Malaysia dan siapa yang pertama kali membawanya ke negara ini.

    Namun, terdapat dua pandangan bagaimana fahaman Hizbut Tahrir tersebar di negara ini. Pertama, fahaman Hizbut Tahrir dibawa oleh pelajar-pelajar Indonesia yang menuntut di negara ini atau dibawa oleh orang-orang Indonesia yang bekerja di sini.

    Kedua, fahaman Hizbut Tahrir dibawa oleh pelajar-pelajar daripada United Kingdom yang terpengaruh dengan fahaman Hizbut Tahrir semasa mereka menuntut di sana. Sementara itu, ramai pelajar Malaysia di United Kingdom terutamanya yang belajar di Imperial College, University of Sheffield and School of Oriental and African Studies di England sekitar awal 1990an berjaya direkrut oleh pergerakan Hizbut Tahrir di sana. Fahaman Hisbut Tahrir tersebut dibawa balik dan mula disebarkan di Malaysia pada penghujung tahun 1990.

    Pelajar-pelajar dan pensyarah di IPTA merupakan anggota atau penyokong pergerakan Hisbut Tahrir yang paling ramai dan mereka menjadi tulang belakang untuk menggerakkan aktiviti Hisbut Tahrir di negara ini.

    Persoalannya, mengapa fahaman Hisbut Tahrir dan fahaman yang menjurus kepada gerakan Islam radikal termasuk juga fahaman salafi jihadiah menjadi semakin popular di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi tetapi tidak begitu popular di kalangan golongan yang berpendidikan rendah atau orang-orang kebanyakan?

    Mengikut setengah pendapat, sebenarnya hakikat ini tidak boleh dinafikan bahawa fahaman ini boleh diterima oleh golongan yang berfikir. Hanya mereka yang berfikir dan mengkaji sahaja seperti pelajar-pelajar IPT dan golongan professional mampu menerima fahaman ini. Adapun mereka yang malas berfikir dan hanya sekadar suka untuk mengikut secara membuta tuli tidak akan dapat menerima fahaman tersebut.

    Gerakan Hizbut Tahrir sebenarnya bijak mengambil peluang daripada ledakan kemunculan media sosial membuatkan kumpulan itu mampu menyebarkan ideologi mereka dengan luas dan cepat. Golongan muda sama ada golongan terpelajar di IPT dan golongan proffesional merupakan golongan yang memang banyak terdedah kepada penggunaan media sosial.

    Pendekatan dakyah menyebarkan ideologi Khilafah mereka melalui laman web, facebook, twitter, dan lain-lain di samping mengadakan diskusi, forum, edaran tulisan, 'street dakwah' merupakan strategi yang berjaya menarik golongan muda di IPT dan golongan proffesional kerana sesuai dengan trend komunikasi terkini untuk golongan tersebut.

    Dakyah tentang keunggulan sistem Khilafah menggantikan sistem kufar yang diamalkan sekarang dan isu-isu semasa yang dikaitkan dengan perjuangan Islam dapat memberi tarikan dan mempengaruhi golongan tersebut terutamanya yang bersemangat untuk membina kembali kegemilangan Islam tetapi mereka jahil dalam hal pemahaman agama Islam yang benar. Sehubungan itu, pemahaman yang betul mengenai ajaran Islam cukup penting selain asas pengetahuan dalam agama yang mampu menjadi benteng kepada penerimaan fahaman yang salah

    Yusof Al-Qardawi mengkritik pergerakan Hizbut Tahrir dengan mengatakan:

    “Menganggap masalah utama umat Islam, bahaya yang paling mengancam, serta dosa terbesar, disebabkan tiadanya kekhalifahan dalam kehidupan umat Islam, dan jalan penyelesiannya hanya dengan wujudnya Khalifah Islam adalah satu kekeliruan. Hal ini disebabkan seolah-olah Islam itu diiterjemahkan atau membawa makna Khalifah atau Khilafah.”

    Oleh itu, pemantauan dan tindakan yang berterusan perlu dilakukan oleh pihak yang berkuasa termasuk pihak berkuasa agama sebelum golongan terpelajar dan proffesional yang terpengaruh dengan fahaman Hisbut Tahrir tersebut berjaya mempengaruhi dan mengembangkan orang awam yang lain pula.


Sumber: Asrisme dan Hizbut Tahrir- Fenomena Dakwah IPT, khazanahnasional.file.wordpress.com.


 

Comments