Mengenangkan keadaan yang berlaku hari ini, ia sangat menyedihkan. Apabila ada pihak-pihak yang sanggup berpecah demi agenda peribadi, ia bukan sahaja menimbulkan kekacauan dalam negara, malah menyebabkan perpecahan di kalangan manusia khususnya umat Islam. Islam meletakkan ikatan hubungan ukhwah yang terjalin di antara manusia bukan hanya dihubungkan oleh ikatan sesama nasab atau kemanusiaan semata-mata tetapi lebih jauh dari itu iaitu hubungan yang berlandaskan ikatan Islamiah. Dalam erti kata lain ukhwah yang terjalin adalah bermatlamatkan kerana Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
“Terdapat tiga perkara yang barang siapa mendapati tiga perkara ini dalam dirinya, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman (halawatul iman). Pertama, menjadikan Allah dan Rasul paling disayangi dan dicintai berbanding dari keduanya. Kedua, menyayangi seseorang manusia kerana Allah SWT dan ketiga, membenci kekufuran sebagaimana membenci dirinya jika dimasukkan di dalam neraka” (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, umat Islam harus menghayati seruan Nabi Muhammad SAW supaya menjadi Mukmin yang benar-benar mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Sifat saling menyayangi, memelihara ukhwah dan sentiasa membina tautan hati dengan kasih pasti mendapat barakah serta rahmat Allah SWT.
Firman Allah SWT:
"Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (QS al Hujurat: 10).
Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah kalian saling membenci, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara....(HR Muslim)
Islam mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhwah umat Islam. Tidak kira apa jua kedudukan dan pangkat, baik pemimpin mahupun rakyat, kita hendaklah sama-sama berganding bahu untuk membentuk perpaduan yang jitu. Ini kerana dengan ukhwah perpaduan, Allah akan memberi rahmat dan barakah dalam sesuatu kejayaan sebuah negara.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment