Dunia hari ini
menyalahkan agama Islam yang dikatakan sebagai
punca segala bentuk keganasan. Namun, apa yang mereka tidak tahu ialah
semua ini merupakan propaganda musuh-musuh Islam yang tidak senang dengan
kedamaian, toleransi, sifat timbang rasa dan kasih sayang yang dianjurkan dalam
agama Islam itu sendiri.
Firman Allah
SWT:
"Dia telah
memilih kamu dan tidak menjadikan kamu menanggung susah payah dalam perkara agama,
agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu orang Islam sejak dahulu, dan di
dalam al-Quran ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran
perbuatan kamu, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada
umat manusia (tentang benar dan salah)." (QS al-Hajj: 78)
Berdasarkan ayat
di atas, maka jelas dan nyata lah Allah SWT memilih Islam sebagai agama yang
diredai di sisi-Nya, menamakan agama ini sebagai Islam yang diwahyukan kepada
Baginda SAW melalui perantaraan Jibril As. Dialah juga yang menamakan penganut
Islam sebagai Muslim. Hal ini kerana Islam cintakan kedamaian dan bencikan
keganasan. Islam yang bererti damai, selamat, sejahtera, penyerahan diri, taat
dan patuh adalah agama yang membawa kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan
kepada kehidupan semua makhluk. Islam amat menganjurkan umatnya berkasih sayang
bukan sahaja sesama Islam malah untuk seluruh manusia yang ada di muka bumi ini
seperti sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa
yang tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya," (HR
At-Tarmizi)
Dalam hadis lain
Rasulullah SAW juga bersabda:
"...Kasih
sayang itu tidak terbatas pada kasih sayang salah seorang di antara kalian
kepada sahabatnya (mukmin), tetapi bersifat umum (untuk seluruh umat
manusia)" (HR At-Tabrani).
Cuba kita lihat
umat-umat Muslim yang mempraktikkan ajaran Islam sepenuhnya di dalam kehidupan
mereka, sebagai contoh Muslim di Malaysia dan Indonesia, mereka boleh hidup
aman dan harmoni serta saling berkasih sayang dengan orang bukan Islam walaupun
berbilang kaum dan agama. Sekiranya mempunyai perselisihan, kita akan
menyelesaikannya secara tuntas melalui perbicangan. Itu apa yang diajar oleh
Islam selama ini.
Hakikatnya,
Islam ialah agama yang amat membenci keganasan dan kezaliman. Islam memerintahkan
umatnya berkasih sayang sesama makhluk di atas muka bumi ini dan meletakkan
kedamaian dan kesejahteraan sebagai asas dalam kehidupan. Sebagai seorang
Muslim, kita disarankan untuk meyakini bahawa Islam adalah agama fitrah yang
menjunjung kedamaian sejagat. Kita juga hendaklah berperanan sebagai da’i untuk
menyebarluaskan dakwah Islam serta menonjolkan kedamaiannya kepada semua
manusia.
Sumber: Berita
Harian “Islam bukan pencetus keganasan” (18 Mac 2017) dan Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment