Ada sebahagian daripada masyarakat menganggap menuntut ilmu adalah sebahagian daripada Sunnah, walhal kita tidak tahu ada beberapa hal yang mewajibkan kita untuk menuntut ilmu sebagai contoh ilmu Fardhu Ain yang wajib dipelajari dan berdosa sekiranya ditinggalkan. Ilmu adalah kunci segala kebaikan dan pengetahuan. Ilmu juga merupakan kewajipan untuk menjalankan segala yang Allah SWT perintahkan kepada kita.
Sabda Rasulullah SAW:
"Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim." (HR Ibnu Majah)
Menuntut ilmu adalah keutamaan bagi semua umat Islam pada masa kini. Dengan ilmu maka mereka boleh menyebarkan mesej keamanan agar tiada lagi persengketaan sesama manusia. Antara keutamaan lain adalah:
- Memudahkan seseorang untuk masuk ke syurga.
- Ilmu yang diperolehi dan seterusnya disebarkan akan diangkat sebagai amal jariah.
- Allah SWT akan mengangkat darjat seseorang yang berilmu.
- Orang yang berilmu adalah orang yang paling takut dengan Allah SWT dan akan segera
melaksanakan perintahNya.
- Allah akan memberi kebaikan dan keberkatan kepada orang yang berilmu di dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fisabilillah sehingga ia kembali (HR at-Tirmizi).
Oleh itu, jangan kita sesekali meremehkan usaha para ilmuwan yang berjuang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Kita seharusnya mengambil contoh daripada usaha mereka dalam memperbaiki diri kita. Ini kerana ilmu amatlah penting dalam kehidupan dan ia merupakan salah satu jihad yang paling agung. Allah SWT sudah memberikan banyak kenikmatan. Jika kita tidak menggunakan dengan sebaik mungkin, maka kita akan menjadi salah satu golongan yang rugi.
Firman Allah SWT:
"Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi nikmat yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran.” (QS Al-Baqarah: 269)
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Detiknews.com
Comments
Post a Comment