MENGAPA FAHAMAN HIZBUT TAHRIR PERLU DITOLAK?

Pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia merupakan satu pertubuhan tidak berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang bergerak cergas di Malaysia pada hari ini.

Pertubuhan ini bukan sekadar bermotifkan politik untuk mengambil alih pemerintahan negara-negara di dunia khususnya bagi negara-negara di bawah pemerintahan Muslim bagi membentuk dan mengembalikan pemerintahan negara Islam berkhalifah, bahkan ia juga melibatkan hal ehwal kefahaman agama yang mana fahamannya telah tersasar dari landasan kefahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh ulama yang dikenali di seluruh dunia termasuk fatwa oleh beberapa Jabatan Agama Islam di negara ini, mereka juga berpegang dengan prinsip dan pegangan akidah yang menyeleweng dan bercanggah dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antaranya adalah mengatakan hidayah dan kesesatan adalah ciptaan hamba bukan ciptaan Allah. Mereka juga menghukum orang yang meninggal dunia tanpa bai’ah seorang khalifah sebagai mati jahiliyah.

Mereka juga turut mendakwa pemerintah, ahli politik dan para ulama Islam kesemuanya kafir serta harus diperangi kerana menerima hukum kufur. Fahaman dan keyakinan begini sebenarnya menyamai fahaman dan keyakinan kumpulan pengganas seperti al-Qaeda, Daesh, Jemaah Islamiah dan lain-lain kumpulan militan yang difatwakan sesat oleh ulama di seluruh dunia.

Selain itu, mereka menafikan Qada’ dan Qadar, berpegang kepada fahaman akidah qadariah, mempercayai Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul serta beberapa fahaman lain yang sangat jelas penyelewengannya. 

Oleh sebab itu, beberapa negara Islam di seluruh dunia telah memfatwakan bahawa pertubuhan Hizbut Tahrir adalah sebuah pergerakan yang haram. Di negara kita juga, fatwa mengharamkan pergerakan Hizbut Tahrir  telah dikeluarkan oleh beberapa Jabatan Islam Negeri bagi mengelakkan penyebaran ideologi yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat Islam di negara ini yang berpegang dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, dikhuatiri dokrin yang ditanam terhadap anggotanya dan pengaruhnya untuk menghasut masyarakat menentang pemerintah dan menolak sistem yang digunapakai dalam pemerintahan akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan akan menggugat keharmonian masyarakat.

 

Sumber: 'Pertubuhan Hizbut Tahrir: Kenapa perlu ditolak', Buletin Tentera Darat, 2016. 


 

Comments