MENGUKUHKAN AKIDAH ADALAH JALAN PENYELESAIAN UNTUK MENCEGAH MURTAD

Akidah adalah perkara yang amat penting dan sensitif dalam agama Islam. Ia tidak boleh dipersendakan atau dipermainkan sama ada dengan hati, perkataan apatah lagi dengan perbuatan. Tidak diragukan lagi, perkara tersebut adalah satu dosa besar dan boleh membawa kepada terkeluar daripada agama Islam (murtad) jika tidak bertaubat.

Berdasarkan kes-kes murtad yang berlaku di negara ini, punca utama adalah kejahilan agama dan pemahaman akidah yang amat lemah terutamanya untuk menghadapi serangan ideologi liberalisme, sekularisme, pluralisme dan sebagainya.

Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim menjaga dan memelihara keislamannya dengan menjaga akidahnya daripada sebarang perkara yang boleh menjadikannya rosak dan terbatal. Hanya dengan akidah yang kukuh sahaja akan menjamin keselamatan umat Islam dari bahaya murtad. Sementara itu, jika terbatal akidah seseorang itu, maka ia telah murtad dan terhapuslah segala amal ibadat yang telah dilakukan.

Sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah, ayat 217:

Maksudnya: “Dan sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya (Islam), lalu dia mati sedangkan dia dalam keadaan kafir maka sia-sialah amalan mereka yang baik-baik di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Kita seharusnya bersyukur kerana telah terpilih menjadi umat Islam. Agama Islam adalah satu-satunya agama yang dapat menyelamatkan umat manusia di dunia dan di akhirat. Tidak ada agama yang paling sempurna selain Islam. Seperti Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 19 yang bermaksud “Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai disisi Allah ialah Islam”.

Maka, pengaruh dan persekitaran sosial perlulah dipelihara dan menjadi batas untuk diri sendiri supaya terus berada dalam golongan yang beriman, baik dan jauh daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman yang akhirnya membawa kepada perilaku murtad.

 

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei. 


 

Comments