Salah faham
ketara masyarakat khususnya yang beragama Islam tentang maksud jihad yang
sebenar dan konsep mati syahid merupakan antara faktor utama yang menyumbang
penglibatan besar mereka dalam kegiatan keganasan. Antara punca utama
penyertaan masyarakat dalam kegiatan keganasan adalah akibat daripada sikap
sebahagian mereka yang ingin melarikan diri daripada masalah dan realiti
kehidupan dunia yang sukar dan menghimpit seperti kemiskinan, ketidakadilan dan
keruntuhan institusi keluarga.
Akibat daripada
itu, ramai yang mula mencari jalan keluar dengan niat untuk menjauhkan diri
daripada segala masalah yang dihadapi. Lebih malang lagi, mereka mula
terjerumus dengan ‘dakyah’ kumpulan-kumpulan militan yang kononnya ingin
membantu mereka keluar daripada belenggu masalah. Melalui apa? Perang ‘jihad’
di luar negara seperti Afghanistan, Syria, Iraq, Selatan Filipina, Kashmir dan
sebagainya. Mereka mula terpengaruh dengan ideologi mati syahid dan ganjaran
syurga seperti yang diwar-warkan. Ini ditambah pula dengan pengaruh daripada
media sosial yang tiada tapisan penyiaran. Walhal itu semua adalah tipu daya
kumpulan militan atau pengganas yang ingin merekrut sebilangan masyarakat untuk
melakukan tindakan keganasan tetapi berjuang atas alasan agama yang
bertopengkan jihad dan mati syahid.
Dalam hal ini,
kita harus perbetulkan kefahaman masyarakat khususnya golongan belia dan
pertengahan mengenai maksud jihad yang sebenar dan konsep mati syahid. Jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas
melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah yang menunjukkan jihad bukan
hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam
ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah.
Firman Allah
SWT: “Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan
Al Quran dengan jihad yang besar” (QS Al-Furqan: 52).
Menurut para
mufassirin (ulama tafsir), jihad yang besar di sini adalah bermaksud jihad melawan
hawa nafsu (jihad un-nafs) yang merupakan satu perjuangan yang besar.
Oleh itu, semua
pihak harus memainkan peranan penting dalam menyekat ideologi militan ini dari
terus berleluasa hingga menyerap ke dalam fikiran anak-anak kita. Pihak
kerajaan dan jabatan agama Islam harus mewartakan undang-undang baharu terhadap
bahan penyiaran agama dengan lebih ketat. Ini kerana dikhuatiri akan berlakunya
kebocoran ‘maklumat’ mengenai kumpulan pengganas.
Adalah tidak
tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana,
maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti
peperangan. Begitu juga dengan konsep mati syahid yang perlu dijelaskan kepada
masyarakat supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan
terutamanya melalui media sosial hari. Membunuh orang awan yang tidak bersalah
adalah haram dan sangat dilarang dalam Islam walau atas alasan apa sekalipun.
Pelakunya, sama sekali tidak boleh dikategori sebagai mati syahid meskipun atas
alasan 'berjihad' seperti yang digembar gemburkan oleh kumpulan militan.
Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad
mengikut kemampuan diri masing-masing. Islam tidak sekali-kali mensyariatkan
peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam, negara
dan umatnya dari ancaman musuh.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah
persekutuan
Comments
Post a Comment