Kemunculan dan penularan
perkembangan ajaran sesat adalah kerana kejahilan terhadap agama Islam itu
sendiri. Kejahilan tersebut bukan sahaja daripada pengikut tetapi juga
melibatkan ketua atau guru ajaran sesat itu sendiri.
Gejala ajaran sesat ini
kebanyakannya dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat,
kemahsyuran, kekayaan, bermotifkan seks serta kepercayaan lama yang mengandungi
unsur-unsur animisme dan dinamisme yang dicampur aduk dengan doktrin-doktrin
lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Buddhisme, Neo-Platonisme dan lain-lain
lagi.
Terdapat juga faktor penggunaan
ayat-ayat al-Quran bagi menyokong sesuatu amalan atau ajaran tetapi penggunaan
ayat-ayat al-Quran tersebut tidak mengikut tafsiran yang betul tetapi ditafsir
supaya selari dan sesuai dengan tujuan ajaran tersebut. Bagi masyarakat awam
yang jahil dalam agama, mereka akan mudah menerima apa sahaja yang dikatakan
datang daripada al-Quran tanpa memeriksanya terlebih dahulu. Apatah lagi jika
guru atau pemimpin ajaran tersebut dilihat mempunyai kelebihan atau keajaiban
tertentu yang didakwa sebagai keramat atau ketinggian martabatnya berbanding
orang awam.
Oleh itu, perlulah diketahui bahawa
ajaran sesat adalah fenomena yang mampu mengancam keharmonian masyarakat Islam
di Malaysia. Hal ini disebabkan ajaran sesat akan membawa unsur-unsur negatif
dan kepercayaan karut sehingga menganggap kumpulan mereka adalah kumpulan
terbaik yang dipilih oleh Allah, dijamin syurga dan menganggap orang lain yang
tidak bersama mereka sebagai musuh dan orang yang berdosa. Malah sesetengah
ajaran sesat mengajak pengikutnya untuk 'memerangi' kerajaan yang dianggap
'thaghut' (kafir) dan membenci orang-orang bukan Islam yang dianggap sebagai
penghuni neraka. Bagi Malaysia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan agama,
sudah semestinya perkembangan ajaran sesat ini akan mengancam keselamatan
negara dan menggugat keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Susulan itu, Jabatan Mufti Negeri
Sembilan baru-baru ini telah mengeluarkan fatwa mengharamkan beberapa ajaran
yang dianggap bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara
ini. Pengharaman ini termasuklah juga
pengharaman terhadap pertubuhan Hizbut Tahrir iaitu suatu gerakan sesat yang
semakin berjaya mempengaruhi masyarakat awam di negara ini terutamanya golongan
muda yang menuntut di Insitusi Pengajian Tinggi. Langkah seperti ini adalah langkah yang tepat
dan sangat perlu diikuti oleh negeri-negeri lain bagi menyekat gerakan atau
ajaran yang menyalahi akidah dan menjejaskan keharmonian kehidupan
bermasyarakat di negara ini.
Satu perkara yang berbahaya dalam perkembangan ajaran sesat ini, individu yang terpengaruh akan menjadi begitu taksub dan sanggup ‘menyembah’ ketua mereka serta sanggup mengorbankan diri untuk mengikuti apa saja arahan ketua ajaran sesat tersebut yang dianggap suci demi mendapat ganjaran atau pahala yang dijanjikan. Sekiranya perkara ini tidak disekat, akan dikhuatiri pengikut ajaran sesat ini boleh bertindak ganas dan melampau batas untuk mencapai tujuan mereka, yang akhirnya bukan sahaja merosakkan akidah malah mendatangkan kucar-kacir terhadap keselamatan negara.
Sumber:
Kertas Seminar Penerangan Ajaran Salah dan Isu Semasa, DUN Selangor, 2008.
Comments
Post a Comment