4 INTIPATI AJARAN ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN - SEKULARISME, INKLUSIFISME, PLURALISME DAN HERMENEUTIK
Istilah Islam Liberal dipromosikan
oleh penulis-penulis Barat mahupun orang Islam yang terkesan dengan
pemikiran-pemikiran kebebasan mutlak tanpa sekatan baik dalam bidang agama,
ekonomi, sosial, politik dan perundangan. Intipati ajaran dan fahaman Islam
Liberal ini teradun dalam empat komponen utama iaitu sekularisme, inklusifisme,
pluralisme dan hermeneutik.
Sekularisme adalah fahaman yang
memisahkan antara agama dengan hal-hal keduniaan. Bagi seorang Muslim yang
sekular, mereka akan menolak peraturan syariah Islam. Mereka tidak mahu terikat
dengan peraturan syariah atas dasar kebebasan dan hak individu dalam menjalani
kehidupan di mana bagi mereka urusan agama dan urusan dunia tidak boleh
dicampur aduk. Pendokong sekularisme mendakwa bahawa undang-undang Tuhan sesuai
sewaktu diwahyukan dan tidak sesuai lagi buat masa kini.
Inklusifisme atau Islam inklusif
adalah pemikiran Islam yang bersifat terbuka yang menerima apa saja nilai-nilai
baik tanpa mengira daripada mana ia datang. Sedangkan nilai baik tersebut
ditafsir dan dilihat semata-mata berdasarkan akal. Oleh itu, golongan Islam
liberal yang berfikiran inklusifisme adalah mereka yang terbuka menerima
kepelbagaian yang dinilai baik dari segi kacamata akal semata-mata tanpa
merujuk kepada ketetapan syariat Islam. Walaupun dalam Islam itu sendiri memang
ada ciri inklusif yang menerima kepelbagaian, namun ia mesti tertakluk kepada
batas-batas syariat yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, bukan mentafsir
keterbukaan secara bebas mengikut logik akal semata-mata.
Pluralisme pula adalah pemahaman
bahawa semua agama adalah sama yang membawa kebaikan kepada penganutnya. Oleh
itu golongan Islam liberal melihat apa-apa kebaikan daripada agama lain juga
boleh diambil untuk diamalkan dan perlu bertoleransi untuk mewujudkan kehidupan
harmoni secara bersama dengan bertolak ansur dalam semua aspek kehidupan.
Sedangkan Islam tidak menganggap semua agama sama dan toleransi hanya terbatas
mengikut ketetapan syariat.
Sementara ciri terakhir Islam
liberal ialah menafsirkan al-quran berdasarkan konsep hermeneutik. Dalam hal
ini golongan Islam liberal berfahaman bahawa al-quran perlu ditafsir semula
mengikut konsep hermeneutik iaitu berdasarkan disiplin ilmu penafsiran moden
Barat yang menafsirkan sesuatu teks atau perkara (dalam al-quran) berdasarkan
konteks sejarah, bahasa, budaya, ilmu sosial dan keadaan semasa. Oleh itu,
golongan Islam liberal memahami bahawa al-quran perlu ditafsir semula
berdasarkan disiplin ilmu hermeneutik Barat yang liberal dan menyatakan
penafsiran oleh ulama tafsir yang dulu adalah jumud dan tidak sesuai lagi di
zaman moden ini.
Berdasarkan ciri-ciri tersebut,
mereka yang terpengaruh atau mendukung fahaman Islam Liberal ini mudah dikesan
memandangkan mereka semakin berani menyuarakan secara terang-terangan dan
terbuka. Malah aliran ini semakin berkembang melalui pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) selain bergerak secara individu yang disokong oleh mereka yang terlibat
dalam politik serta bekerjaya profesional dengan menyalurkan pandangan liberal
mereka melalui platform media tanpa jaringan.
Perkembangan aliran ini memerlukan
perhatian yang serius kerana jika dibiarkan berkembang tanpa penjelasan dan penentangan
yang sewajarnya, kehadirannya akan menjadi barah yang sukar dirawat kemudian
hari apalagi aliran ini telah terbukti membawa fahaman yang jelas bertentangan
dengan akidah dan syariat Islam berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber:
Seminar 'Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa', 2019, Kolej Universiti
Perguruan Ugama Sri Begawan, Brunei.
Comments
Post a Comment