AJARAN SESAT ADALAH MENYALAHI SYARIAT ISLAM DAN MEMBAWA KECELARUAN DALAM MASYARAKAT. KENAPA MASIH ADA YANG TERPENGARUH???
Salah satu cabaran
dalam pengembangan agama Islam semenjak dahulu ialah wujudnya pengaruh yang
cuba memesongkan akidah penganut agama Islam. Bermula dari zaman Nabi Muhammad
S.A.W hinggalah ke zaman sekarang, umat Islam tidak pernah sunyi daripada
berhadapan dengan isu penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat.
Kemunculan ajaran
sesat di negara ini seperti cendawan tumbuh dan mendapat dokongan daripada
sebahagian umat Islam di negara ini meskipun ajaran tersebut bercanggah dengan
logik akal, apatah lagi bercanggah dengan ayariat Islam seperti pemimpinnya
mengaku Tuhan atau Nabi, semua pengikut akan masuk syurga, boleh berzina, tak
perlu solat, mengamalkan ritual yang pelik-pelik dan sebagainya lagi. Antara ajaran sesat
tersebut termasuklah Ajaran Bahtera Nabi Nuh, Ajaran Ayah Pin, Ajaran Ahmad
Laksamana, Ajaran Bahai, Ajaran Milah Abraham, Tarikat Kadirun Yahya, Ajaran
Kadar Ahmad, Ajaran Martabat Tujuh, Ajaran Wali Suci dan berpuluh yang lain
lagi.
Ajaran sesat tidak
akan bertapak, berkembang dan tersebar tanpa adanya sebarang sebab atau faktor
yang mendorong munculnya ajaran tersebut.
Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan ajaran sesat semakin
berkembang di negara ini. Antaranya ialah
kelemahan sistem pendidikan Islam, kelemahan menangani unsur negatif
media massa, kelemahan menjauhkan pengaruh budaya Barat dalam kehidupan masyarakat
hari ini dan kelemahan membasmi kepercayaan purba serta adat istiadat yang
menyalahi Islam dalam kehidupan seharian adalah antara faktor yang menjadi
penyumbang kepada perkembangan ajaran sesat di negara ini.
Biarpun kerajaan
berusaha menyemarakkan usaha dakwah menerusi pelbagai medium dan perancangan di
segenap peringkat, namun masih ada kumpulan ajaran sesat yang berjaya menembusi
golongan sasaran terutama menerusi kaedah dan pendekatan tertentu seperti
perbomohan dan rawatan tradisional, ilmu persilatan, tarikat sesat dan
pengamalan amalan tertentu seperti pemujaan, amalan zikir beramai-ramai yang pelik yang menyimpang daripada ajaran
Islam dan berbagai amalan khurafat yang lain.
Walaubagaimanapun,
faktor yang paling utama kenapa seseorang boleh terpengaruh dengan ajaran sesat
adalah kerana kejahilan ilmu agama dan akidah yang rapuh sehingga begitu mudah
terpengaruh walaupun ajaran tersebut sangat bertentangan dengan ajaran Islam
dan bertentangan dengan logik akal yg sihat, Oleh itu, umat Islam digalakkan
untuk menuntut ilmu dengan guru yang benar-benar terbukti sahih mengikut ajaran
Islam yang sebenar supaya akidah tidak mudah terpesong dengan hasutan atau
sesuatu ajaran baru yang boleh menyesatkan. .
Sesungguhnya akidah, syariat dan akhlak Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah berperanan menyatupadukan umat dan menjamin keamanan serta kestabilan negara. Manakala ajaran atau fahaman menyeleweng dan sesat yang berlainan daripadanya serta pengamalan biasa masyarakat Islam di negara ini dianggap sebagai usaha untuk mengacaubilaukan kestabilan dan keharmonian negara. Ini menunjukkan ajaran sesat bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap individu tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Sumber: Jurnal
Syariah, Jil. 18, Bil. 2 (2010) dan Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment