AWAS!!! IDEOLOGI JIHAD KUMPULAN MILITAN SALAFIYAH JIHADIYAH ADALAH IDEOLOGI SESAT DI AKHIR ZAMAN YANG PENUH DENGAN FITNAH

Tindakan kumpulan pengganas atau militan Islam atas alasan melancarkan jihad atau perang suci bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah telah mencemarkan imej Islam dimata orang bukan Islam di seluruh dunia.

Ideologi kumpulan militan Salafiyah Jihadiyah yang menjadi pegangan dan justifikasi mereka untuk membentuk Khalifah Islam melalui tindakan keganasan tersebutlah yang membuatkan mereka menjadi radikal. Kumpulan-kumpulan militan seperti Daesh, al-Qaeda, Taliban, Jemaah Islamiyah, Laskar e-Toiba, Abu Sayyaf dan sebagainya mendakwa mereka berjuang mengikut fahaman Salaf (kurun terbaik tersebut) dan menegakkan kembali Islam (negara dan khalifah Islam) hanya melalui satu-satunya jalan atau kaedah iaitu melalui jihad (perang) melawan orang-orang kafir. Namun, ideologi jihad tersebut sebenarnya ideologi yang sesat yang bukan ajaran Islam yang benar yang mementingkan keamanan bukan kezaliman dan permusuhan.

Melihat kepada kewujudan kumpulan-kumpulan militan berfahaman Salafiyah Jihadiyah yang semakin berkembang di seluruh dunia ibaratnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan, ianya sangat bahaya terutamanya di rantau ini yang penuh dengan pergolakan. Perkembangan kumpulan militan berfahaman Salafiyah Jihadiyah (berfahaman jihad dengan keganasan) ini sudah pasti akan memberi ancaman kepada kestabilan dan keselamatan di rantau ini termasuk juga di negara kita. Sehubungan itu, langkah-langkah pencegahan untuk menghalang kegiatan pengganas dan penyebaran ideologi keganasan perlulah diberikan perhatian.

Fenomena yang berlaku ini menunjukkan kita telah berada pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah di mana kezaliman dan keganasan akan berlaku di merata pelusuk dunia. Banyak kumpulan yang kononnya berjuang untuk menegakkan Islam tetapi hakikatnya mereka adalah kelompok yang sesat dan membuat zalim serta kerosakan di atas muka bumi ini.    Zaman inilah merupakan zaman fitnah yang amat dahsyat dan ia menguji umat Islam yang hidup di akhir zaman ini supaya berpegang kepada Islam yang benar kerana terlalu banyak kumpulan yang cuba menyesatkan umat Islam ketika itu.

Hal ini sepertimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang memberi peringatan supaya umat Islam yang hidup di zaman tersebut (zaman fitnah seperti hari ini) terus berpegang kepada ajaran Islam yang benar dan tidak terpengaruh dengan ajaran yang sesat yang menjadikan pengikutnya taksub membuta tuli dengan melakukan kezaliman dan keganasan.

 

Sumber: Delegitimizing global jihadi ideology in Southeast Asia. Contemporary Southeast Asia 27. No. 3(2005).


 

Comments