BAHAYA GERAKAN LIBERALISME!!! MELAKUKAN SERANGAN PEMIKIRAN BARAT (WESTERNISASI) YANG MENYESATKAN UMAT ISLAM


Liberalisme agama adalah satu bentuk serangan pemikiran yang paling menonjol dan berbahaya pada masa kini. Dalam bahasa arab disebut 'al-Ghazwu al-fikri' yang merujuk kepada serangan yang bukan berbentuk fizik tetapi ia mempunyai karakteristik yang hampir  sama dengan 'brain washing' atau 'thought control' atau 'ideological reform'.

Serangan pemikiran ini bukanlah bermaksud menggunakan senjata atau kekerasan tetapi lebih kepada serangan sepintas lalu atau tanpa sedar tetapi mampu menembus akal sehingga mampu membersihkan kepercayaan lama atau pegangan seseorang terhadap sesuatu perkara. Kemudiannya ia akan membentuk satu fahaman yang baru untuk disesuaikan mengikut zaman dan trend.

Mengikut kajian, serangan pemikiran terhadap dunia Islam bermula dengan usaha westernisasi yang dilakukan oleh pihak Barat. Matlamat gerakan westernisasi ini adalah memaksakan falsafah materialisme, kedengkian, hawa nafsu dan pengingkaran terhadap sesuatu yang tidak terjangkau oleh penglihatan seperti berkenaan kewujudan Tuhan.

Berasaskan matlamat tersebut, pelbagai ideologi dan pemikiran baru yang datang dari Barat dibawa masuk ke dunia Islam termasuk fahaman liberalisme agama. Ia ditambah dengan proses globalisasi sehingga menghasilkan suatu perubahan yang agak drastik terhadap pegangan akidah dan pemikiran umat Islam. 

Liberalisme adalah satu fahaman yang mengajar tentang kebebasan manusia dalam apa jua hal sehingga muncul gerakan-gerakan yang memperjuangkan hak asasi manusia biarpun bercanggah dengan ajaran agama. Sifat melampau mereka yang berfahaman Islam liberal ini telah menyebabkan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berpegang kepada konsep pluralisme agama, mendakwa akal manusia adalah wahyu, mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan hadis. Berikutan itu mereka telah difatwakan sebagai ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Sumber: Bayan Linnas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2019

Comments