BERSATU-PADU KUNCI KEKUATAN UMMAH DAN KESEJAHTERAAN NEGARA


Ke mana sahaja kita pergi, tidak kira dalam program agama, ceramah motivasi waima tazkirah di masjid-masjid, pasti akan ada nada seruan “bersatu-padu kunci kepada kekuatan dan kejayaan ummah”. Tapi, adakah kita semua menghayatinya? Lihat sahaja keadaan sekarang, situasinya berbeza daripada seruan yang digalakkan. Ada di antara sesama Muslim saling bertikam lidah hingga membawa kepada perpecahan ummah itu sendiri. Bagaimana kita dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan ini?

Firman Allah SWT:           

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (QS al-Hujurat: 10)

Islam merupakan agama yang mementingkan ukhwah dan perpaduan dalam kalangan penganutnya. Oleh itu, ciri utama dalam semua ibadat yang kita lakukan adalah bersandarkan ukhwah serta perpaduan. Ayat di atas menerangkan bahawa setiap Muslim yang beriman itu terikat kepada tali kekeluargaan, iaitu satu ikatan yang menjulang perpaduan antara kita sementelah ia mampu mengatasi hubungan darah dan kekeluargaan. Justeru, adalah menjadi kewajipan bagi mereka menjaga ikatan ini dengan amalan tolong-menolong dan menghormati antara satu sama lain.

Antara jalan yang boleh dilakukan dalam mengukuhkan perpaduan di kalangan ummah adalah sentiasa bersatu-padu dalam segala hal yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji yang disyariatkan kepada kita adalah antara lainnya bertujuan untuk membina ukhwah serta perpaduan justeru menjadikan kita mukmin yang bersaudara. Bukan itu sahaja, sifat tolong-menolong, hormat-menghormati dan saling berganding bahu juga dilihat sebagai faktor berjayanya sebuah perpaduan ummah dan agama.

Sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, berkasihan belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.” (HR Muslim)

Maka dengan itu, marilah kita sama-sama bersatu-padu dalam mengukuhkan lagi ikatan perpaduan sesama Muslim demi kesejahteraan ummah dan negara. Hal ini kerana di situlah letaknya kunci kejayaan ummah serta martabat tinggi agama Islam dan akan dihormati oleh penganut agama lainnya.

 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)


 

Comments