Silaturahim ialah amalan dianjurkan Islam dan wajib dilaksanakan oleh orang beriman kerana banyak ayat al-Quran menjelaskan kepentingan memelihara silaturahim dan ukhwah sesama manusia. Memelihara silaturahim akan membuka pintu rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya, sekali gus menyuburkan hubungan sesama manusia.
Firman Allah SWT:
"Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan suatu apa jua; hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawatan, musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri." (QS an-Nisa: 36)
Sudah menjadi lumrah masyarakat di negara ini untuk saling bersilaturahim dan mengeratkan hubungan sesama insan. Hal ini sangat dituntut dalam agama dan menjadi punca terbukanya pintu rezeki dan kasih sayang seseorang.
Bersilaturahim adalah satu amalan terpuji yang menjadi contoh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang. Semuanya dilakukan atas ihsan dan sifat saling sayang-menyayangi.
Sabda Rasulullah SAW:
“Siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim.” (HR Bukhari dan Muslim)
Setiap manusia yang berusaha melaksanakan kebaikan tentunya akan berdepan dengan ujian yang bertujuan mengukur nilai keikhlasan. Begitu juga dalam perkara berkait soal silaturahim, mereka akan turut berdepan dengan cabaran kehidupan. Namun, setiap ujian pastinya menuntut kesabaran dan hati yang tabah. Tidak mengapa sekiranya ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan tingkah kita asalkan kita berjaya melaksanakan misi yang dituntut agama Islam.
Bersilaturahim itu amat penting dalam mengekalkan perpaduan. Bukan itu sahaja, dengan bersilaturahim juga Allah SWT akan menjanjikan ganjaran pahala yang tidak ternilai serta gandaan rezeki yang melimpah ruah dan secara tidak langsung dapat menyuburkan perasaan kasih dan sayang terhadap sesama manusia.
Sumber: Berita Harian “Silaturahim ganda rezeki, buka pintu kasih sayang” (11 April 2018)
Comments
Post a Comment