KENAPA SESEORANG MUDAH TERPENGARUH DENGAN FAHAMAN SESAT KUMPULAN RADIKAL DAN EKSTREMIS?

 

Tindakan radikal dan ekstrem kumpulan tertentu yang mendakwa berjuang untuk menegakkan negara Islam sebenarnya melangkaui rasional manusiawi kerana tindakan sesetengah kumpulan ini bertindak di luar kesederhanaan manusia. Cuma persoalannya, kenapa masih ramai yang terpengaruh dengan fahaman serta ideologi perjuangan kumpulan ini meskipun tindakan yang dilakukan di luar batas kesederhanaan tersebut?

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkannya berlaku. Antaranya adalah kejahilan agama individu yang menjadi pengikut kumpulan tersebut, sifat taksub atau fanatik yang melampau kepada pemimpin atau kumpulan, sifat tergesa-gesa untuk mencari jalan pintas ke syurga dan beberapa faktor lain lagi. Namun, terdapat dua faktor utama yang mendorong seseorang itu mudah terpedaya dan dipengaruhi fahaman radikal dan ekstrem tersebut iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.

Merujuk kepada faktor luaran adalah merupakan keadaan yang berlaku di dunia Islam sekarang ini. Misalnya pembunuhan pengikut Sunni di Syria, kezaliman yang dilakukan oleh rejim Israel pada rakyat Palestin dan pelbagai bentuk kezaliman yang berlaku pada umat Islam di seluruh dunia, telah mewujudkan persepsi bahawa Islam dan umat Islam sedang ditindas dan berada dalam bahaya. Keadaan ini telah menimbulkan satu kesedaran kepada individu untuk turut bertanggungjawab membela umat Islam yang tertindas di seluruh dunia hari ini dan jalannya adalah dengan berjihad.

Sementara merujuk kepada faktor dalaman pula adalah anggapan yang diwar-warkan oleh kumpulan radikal dan ekstremis bahawa kerajaan Islam yang ada hari ini gagal melaksanakan hukum Islam yang merupakan bukti jelas bagi mereka untuk mengatakan bahawa kerajaan tersebut tidak wajib untuk ditaati. Bahkan menjadi kewajipan dan fardhu ain bagi umat Islam memerangi dan menjatuhkan kerajaan seperti ini. Perkara ini menjadi faktor penyumbang kepada pembentukan ideologi radikal, ekstremis dan melampau terhadap agama.

Serapan ideologi yang menyeleweng ini serta disokong oleh faktor luaran dan dalaman tersebut sebenarnya telah melahirkan seseorang individu yang cenderung dan ghairah untuk berjihad kononnya demi menjalankan kewajipan terhadapan agama dan mati syahid. Sedangkan seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh kumpulan-kumpulan radikal tersebut bercanggah dengan ajaran agama dan boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan darah sesama umat Islam.

Oleh itu, diingatkan kepada semua umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan ideologi-ideologi keganasan dan sikap yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka.

Sehubungan dengan itu, sangat wajar kerajaan dan fatwa mengharamkan pertubuhan kumpulan-kumpulan radikal atas faktor menjaga keharmonian negara dan memelihara akidah serta kepercayaan umat Islam terhadap ajaran agama Islam yang sebenar yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: Garis Panduan Pencegahan Fahaman Radikalisme dan Ekstremisme dalam kalangan Belia dan Masyarakat, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia 


Comments